Cari @ Amanz

Dalam usaha mengukuhkan lagi pilihan buat para pengguna, Vivo V23 5G telah diperkenalkan secara rasminya hari ini. Ia hadir dengan pelbagai fungsi, di samping rekaan yang kemas dan anggun. Jelas kelihatan, Vivo melakukan sesuatu yang berbeza pada penawaran kali ini. Ia boleh dilihat dengan jelas menerusi kemasan panel belakang peranti yang menggunakan kaca AG Fluorite untuk pengalaman penggunaan yang cukup baik.

Di samping itu, panel belakangnya turut boleh berubah-ubah warna apabila terdedah kepada cahaya secara langsung. Terutamanya untuk model yang kami ceritakan dalam artikel ini. Menarik bukan? Bagi melihat lebih lanjut mengenai penawaran yang ada pada peranti ini, kami di Amanz akan bercerita lebih lanjut dalam artikel pandang pertama ini. Teruskan membaca sehingga ke penghujungnya.


Spesifikasi Ringkas Peranti

Vivo V23 5G
Skrin6.44-inci AMOLED, 1080 x 2400 (FHD+), 90Hz
PemprosesMediaTek Dimensity 920 5G (6 nm)
Cip2 x 2.5 GHz Cortex-A78
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G68 MC4
RAM12GB
Muatan Dalaman256GB
Kamera Utama64 + 8 + 2 Megapixel
(f/2.0 + f/2.3 + f/2.4), 4K@30fps
Kamera Depan50 + 8 Megapixel (f/2.2), 4K@30fps
Bateri4,200mAh
Pengecasan Pantas 44W
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano
NFCTiada
Infra MerahTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas Cap Jari Bawah Skrin
Imbasan Wajah
Harga JualanRM2,099

Rekaan Fizikal

Vivo V23 5G merupakan model kemas kini untuk rangkaian peranti di bawah siri V oleh Vivo. Seperti pendahulunya, ia juga memfokuskan kepada keupayaan kamera lebih baik, di samping kemasan peranti yang mampu meletakkannya dalam kelas tersendiri. Bercakap lebih lanjut mengenainya, Vivo V23 5G didatangkan dalam beberapa pilihan warna seperti Sunshine Gold dan Stardust Black. Kemasan badan peranti diperbuat daripada bahan berasaskan aluminium dengan gabungan rekaan bingkai logam yang rata. Ini sekaligus menjadikannya tampak moden dan premium, lebih-lebih lagi untuk model yang berwarna Sunshine Gold. Mengapa?

Seperti yang kami katakan tadi, ia mempunyai kelebihan istimewa di mana panel belakangnya boleh berubah warna daripada emas/kuning kepada biru/hijau. Lebih menarik, ia juga boleh menampilkan kemasan kilauan yang cukup cantik mengikut sudut pandangan pengguna sendiri. Meskipun begitu, ini tidak bermakna Vivo V23 5G dengan kemasan Stardust Black langsung tidak memiliki tarikan. Cuma, kami boleh katakan ia lebih sesuai untuk mereka yang sukakan rekaan minimalis bersama warna yang tidak serabut atau terlalu terang. Sebagai bonus, panel belakang kedua-duanya juga tidak mudah memerangkap kotoran cap jari.

Seterusnya, panel belakang juga memperlihatkan modul kamera berbentuk segi empat dan di dalamnya terdapat tiga lagi bonggol kamera yang disusun secara menegak. Bonggol kamera ini tidaklah terlalu tebal dan ia juga boleh diratakan apabila kerangka pelindung digunakan padanya. Seterusnya, terdapat juga sokongan LED Flash dalam bentuk memanjang bersama penjenamaan ’64MP Triple Camera’ yang jelas menunjukkan peranti dilengkapi kamera utama dengan konfigurasi berkenaan. Kami akan bercerita lebih lanjut mengenai tetapan kamera ini dalam beberapa perenggan yang seterusnya.

Vivo V23 5G juga mempunyai rekaan sisi tubuh yang kini rata dan berkotak. Ini adalah rekaan seumpama Oppo Reno6 dan sejumlah peranti keluaran Apple. Dengan ini, masalah kandungan video melimpah keluar ke sisi sudah semestinya tidak akan berlaku pada peranti Vivo ini. Bercakap mengenai paparan utama, Vivo V23 5G dilengkapi skrin sebesar 6.44-inci dengan resolusi FHD+. Ia adalah daripada keluarga AMOLED, selain turut menampilkan kadar segar semula mencapai 90Hz.

Turut boleh dilihat, Vivo masih belum boleh lari daripada penggunaan takuk. Melaluinya, ia memuatkan dwi-kamera swafoto dengan tetapan 50MP (utama) dan kamera ultra-lebar 8MP. Penggunaan takuk ini mungkin sedikit mengganggu, lebih-lebih lagi apabila peranti digunakan untuk tujuan menonton kandungan video. Namun begitu, gangguan ini boleh diubati dengan ketebalan bezel yang hampir sama besar di bahagian sisi dan membuatkannya nampak lebih sedap dipandang mata.

Susunan butang standard dirasakan cukup ergonomik. Ia juga mudah untuk diakses. Sisi kanan adanya butang kuasa dan laras audio. Sisi kiri pula tidak menunjukkan sebarang kewujudan butang atau lubang. Sebaliknya, ruang slot untuk SIM berada di bahagian bawah peranti. Bersama-sama dengannya, terdapat juga port sambungan USB-C dan pembesar suara.

Cuma sayangnya, kalau anda perasan tiada bicu audio 3.5mm yang disertakan pada peranti ini. Hal ini sekaligus sedikit menyukarkan segelintir pihak yang masih bergantung harap dengan fon telinga jenis berwayar. Dalam situasi begini, hanya terdapat dua pilihan sama ada anda beralih angin kepada penggunaan fon telinga nirwayar. Kedua, berbelanja lebih untuk mendapatkan aksesori tambahan.


Perisian & Pengalaman Penggunaan Singkat

Cip Mediatek Dimensity 920 digunakan pada peranti ini. Ini adalah cip berasaskan binaan 6nm dengan sokongan rangkaian 5G terbina. Ia juga adalah cip lapan teras yang menggabungkan 2 x Cortex-A78 dengan kelajuan sehingga 2.5Ghz dan 6 x Cortex-A55 berkelajuan mencapai 2.0GHz. Seterusnya, unit yang kami terima di dalam artikel ini dibekalkan dengan memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Pada masa sama, ciri penambahan RAM maya sehingga 4GB turut ditawarkan.

Ia sangat bersesuaian yang mahukan sokongan RAM lebih besar. Malah, ia turut sudah menjadi sebahagian daripada trend kebanyakan pengeluar pada masa ini. Ia juga menggunakan antara muka FunTouch OS 12 berasaskan Android 12. Disebabkan kekangan masa, kami tidak berkesempatan untuk menjalankan sebarang ujian penanda aras pada peranti. Bagaimanapun, kami akan berbuat demikian dalam artikel ulasan yang akan datang sebaik tibanya peranti ini di makmal Amanz kelak.

Secara peribadi, kami akui ini adalah sebuah peranti yang cantik dan binaannya juga cukup kukuh. Pendek kata, jikalau anda mencari sebuah peranti yang kaya dengan kemasan tampak premium. Ini adalah salah satu pilihan ada untuk tahun ini. Selain daripada itu, ia juga ringan dan sangat selesa sewaktu dipegang. Pada masa sama, peranti juga langsung tidak membebankan untuk penggunaan tempoh masa yang panjang. Percubaan ringkas juga menunjukkan paparan skrin yang tajam dan terang boleh dinikmati.

Pada masa sama, sokongan 90Hz pada peranti turut membantu untuk pengalaman tatalan yang lancar serta stabil. Malahan, sentuhan jari juga boleh dikatakan dapat dikesan dengan baik tanpa isu yang melampau. Setakat artikel ditulis, peranti juga memberikan pengalaman penggunaan yang agak memuaskan. Tetapi, ini hanyalah pengalaman penggunaan masa singkat sahaja. Kita akan melihatnya dengan lebih lanjut sewaktu ulasan dibuat kelak. Kami juga akan meneliti setiap satu daripadanya termasuklah tetapan untuk permua (permainan mudah-alih) yang disokong oleh peranti.


Tetapan Kamera

Untuk sokongan fotografi, Vivo V23 5G menggunakan sistem tri-kamera dengan tetapan 64-Megapixel (utama), lensa ultra-lebar 8-Megapixel dan lensa 2-Megapixel untuk tujuan makro. Ia juga mempunyai sokongan dwi-kamera swafoto dengan konfigurasi 50MP utama dan kamera ultra lebar 8MP. Buka sahaja aplikasi kamera, kedua-dua belah kamera menunjukkan antara muka yang mudah untuk difahami. Bukan itu sahaja, juga mempunyai fungsi kamera yang pelbagai dan setiap satu daripadanya mudah sahaja untuk diakses.

Salah satu penekanan pada kamera yang diberi perhatian Vivo untuk kali ini adalah ciri dual-tone sportlight. Ia sangat berguna untuk tangkapan gambar pada pencahayaan yang gelap. Ia juga menawarkan kebolehan mengubah warna pada lampu berkenaan mengikut kesesuaian – terdapat tiga pilihan warna yang disediakan seperti cold white, default dan warm yellow. Seperkara lagi, ia turut boleh digunakan untuk tujuan panggilan atau rakaman video di beberapa platform media sosial seperti TikTok, Messenger, WhatsApp dan Instagram. Cuma bezanya, ciri yang satu ini boleh diakses menerusi panel kawalan.

Selain daripada itu, kamera pada peranti turut boleh merakam video dengan tetapan 4K dengan menggunakan kamera hadapan dan belakang. Di samping, ia juga lengkap dengan beberapa ciri fotografi menarik lain seperti Super Night Mode, Dual-View dan sebagainya. Tidak ketinggalan, peranti turut dibekalkan ciri penstabilan video untuk kebolehan rakaman yang lebih baik serta memuaskan.


Bateri

Bateri sebesar 4,200mAh dilihat menjadi pilihan Vivo pada peranti ini. Berdasarkan pengalaman atau pemerhatian kami semasa membuat ulasan pada peranti sebelum ini dengan kapasiti bateri yang hampir sama. Secara purata, peranti mampu bertahan mencapai 6 – 11 jam bergantung pada jenis penggunaan dan tetapan kadar segar semula skrin. Ia juga boleh dikatakan bukanlah kapasiti yang besar, tetapi masih terdapat perkara menarik padanya. Di mana, ia menyokong pengecasan pantas dengan kuasa output mencapai 44W.

Melaluinya, vivo mengatakan proses pengecasan bateri sehingga 68% boleh dibuat dalam masa 30 minit. Sementara itu, pengecasan yang dibuat dalam masa 15 minit pula boleh mendapatkan peratus bateri sekitar 37%. Bagi melihat, sama ada dakwaan ini berasas atau sebaliknya. Kami juga akan menguji jangka hayat bateri yang sebesar dan berkongsinya dalam artikel ulasan yang akan datang.


Kesimpulan

Mahukan peranti tampak premium? Inilah salah satu pilihannya. Ia kelihatan anggun dengan sisi tubuh yang rata dan berkotak yang baik. Ditambah lagi dengan panel belakang yang boleh bertukar-tukar warna membuatkan peranti semakin menarik dengan nilai estetik yang menyenangkan mata melihatnya.

Pada masa sama, Vivo V23 juga masih meneruskan tradisi dengan menyasarkan golongan yang mahukan peranti gaya hidup dan ciri fotografi yang pelbagai. Bagaimanapun, penggunaan takuk pada skrin dirasakan sedikit terganggu lebih-lebih lagi sewaktu peranti digunakan untuk menonton kandungan video dengan skrin penuh. Juga sedikit kecewa dengan sokongan pembesar suara yang sekadar mono dan ketiadaan bicu audio 3.5mm.


Pro

  • Rekaan anggun dan selesa dipegang.
  • Tubuh berkotak dan skrin rata mengelakkan isu kandungan video melimpah.
  • Lebih banyak penambah-baikan pada keupayaan kamera.
  • Perisian dengan sokongan sistem operasi terkini.
  • Pengecasan pantas dengan kuasa output mencapai 44W.

Kontra

  • Pembesar suara mono.
  • Kapasiti bateri agak kecil.
  • Penggunaan skrin bertakuk masih dikekalkan.
  • Terdapatnya aplikasi gendut yang sedia dimuat-turun.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd