PayNet telah pun sedia menawarkan beberapa ciri-ciri yang memfokuskan kemudahan dalam pembayaran, termasuk penggunaan JomPay dan juga DuitNow. Kini, dalam terus memudahkan lagi proses berkenaan, PayNet turut hadir dengan penawaran baharu dinamakan TOP.
TOP atau nama panjangnya, Tap On Phone, ingin memudahkan pengguna melakukan pembayaran dengan hanya sentuh kad debit pada telefon.
Untuk tujuan ini, pekedai dan penjual boleh menggunakan sebarang telefon pintar Android yang hadir dengan sokongan NFC – seterusnya memproses bayaran melalui MyDebit.

Dengan langkah ini, ia akan memudahkan pekedai kecil untuk menerima bayaran menggunakan kad debit tanpa perlu keluarkan kos mempunyai sistem POS atau sebarang terminal, pengurusan dan sebagainya.
Melalui perkongsian PayNet, ciri ini telah sedia ditawarkan melalui beberapa bank tempatan, termasuk AmBank, CIMB Bank, Hong Leong Bank, dan juga Maybank. Bagi pekedai dan penjual, boleh menghubungi pihak bank berkenaan dalam menggunakan sistem baharu ini.
Untuk pengguna pula, proses bayaran adalah sama seperti biasa, dimana anda hanya perlu sentuh kad MyDebit anda pada peranti penjual, dan bayaran akan dilakukan dan diproses.