Cari @ Amanz

Siri tablet Microsoft Surface Go boleh dilihat sebagai tablet sistem operasi Microsoft yang paling padat, mudah digunakan dan berprestasi tinggi di pasaran sekarang. Microsoft dilihat mengemaskini model tablet tersebut dengan komponen-komponen terbaru, tetapi salah satu kekurangannya ialah tanda harga yang tidak begitu mesra dompet.

Melihatkan keperluan pengguna yang masih mahukan sebuah peranti produktiviti yang boleh digunakan untuk tugasan harian tetapi juga hadir dengan penawaran harga yang lebih mampu milik, Microsoft memperkenalkan siri tablet Microsoft Surface Go.

Kini di dalam generasi ketiga, Microsoft Surface Go 3 hadir dengan rekaan yang dilihat tidak begitu berbeza berbanding dengan model-model sebelum ini, tetapi memperlihatkan penaiktarafan dari segi komponen dan beberapa fungsi.

Rekaan Dan Spesifikasi

Microsoft Surface Go 3
Skrin10.5″ PixelSense, 1920×1080
PemprosesIntel Core i3-10100Y
GrafikIntel HD Graphics 615
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128GB SSD
Kamera720p + Windows Hello
I/O1x USB-C
1x bicu audio
1x Surface Connect
HDMITiada
Pembaca KadMicro SD
ImbasanImbasan wajah
SIMTiada
Bateri 6 Jam
Harga JualanRM1888, RM2988

Seperti yang dikatakan sebelum ini, rekaan tablet Surface Go 3 dilihat tidak begitu berbeza berbanding dengan generasi sebelumnya. Ia masih lagi dimuatkan dengan paparan PixelSense 10.5 inci dengan resolusi 1920×1280 pixel yang membuatkannya sebuah tablet yang cukup sesuai untuk pelbagai jenis tugasan, tidak kira produktiviti ataupun riadah.

Sama seperti model tablet Surface yang lain, rangka tablet ini diperbuat daripada logam magnesium yang mengurangkan berat peranti ini, dan permukaan kusam mengurangkan kebarangkalian cap jari melekat pada permukaan. Engsel tapak tablet ini juga boleh dibaringkan hampir 180 darjah untuk membolehkan penggunaan tablet ini pada apa jua sudut sekalipun.

Dari segi penawaran komponen, Microsoft Surface Go 3 hadir dengan dua jenis model; satu dikuasakan oleh CPU Intel Pentium Gold 6500Y dan Intel Core i3-10100Y, dengan pilihan memori DDR4 sehingga 8GB dan juga storan eMMC 64GB pada model Pentium dan SSD 128GB pada pilihan Intel Core i3.

Untuk ulasan ini, Microsoft Malaysia telah menghantar kepada kami model Intel Core i3, dan ia dilengkapi dengan memori 8GB RAM dan storan SSD 128GB. Dari segi pilihan I/O, sayangnya ia masih terhad kepada satu palam USB Type-C, satu palam audio 3.5mm dan satu pembaca kad MicroSD. Microsoft juga dilihat baru memperkenalkan model Surface Go 3 dengan sokongan LTE, tetapi model tersebut masih belum tiba di pasaran Malaysia lagi.

Secara teknikalnya, tablet Surface Go ini masih lagi menggunakan pengecasan melalui pengecas Surface Connect, tetapi sekiranya anda mahu mengurangkan keperluan membawa aksesori yang banyak, anda juga boleh menggunakan pengecas USB PD 3.0 menggunakan palam USB-C sekiranya anda memilikinya.

Seperti model-model siri tablet Surface sebelum ini, Surface Go 3 hanya dijual sebagai sebuah tablet secara kendiri. Sekiranya anda mahu menggunakannya dengan papan kekunci Surface Cover, anda akan perlu memberinya secara berasingan. Untuk memaksimumkan produktiviti anda dengan tablet ini, saranan saya ialah untuk anda mendapatkan Surface Cover tersebut, ataupun sekurang-kurangnya sebuah papan kekunci yang boleh disambungkan ke tablet tersebut secara Bluetooth.

Pengalaman Pengguna

Apa yang saya benar-benar suka mengenai Microsoft Surface Go sejak model pertama ialah saiznya yang sangat padat, memudahkan saya membawanya untuk melakukan tugasan-tugasan harian di mana-mana sahaja. Tidak kira di pejabat, rumah, kedai makan ataupun dalam kereta, tablet ini boleh saya katakan adalah sebuah peranti produktiviti dimana-mana yang cukup lengkap.

Kebiasaannya, tugasan harian saya ialah untuk mencari berita-berita untuk ditulis, ataupun pergi ke acara pelancaran produk dan menulis mengenainya, di sana. Ini bagi saya ialah salah satu daripada contoh terbaik untuk kes penggunaan tablet ini, kerana acara-acara seperti ini kadang-kala tidak mempunyai ruang yang banyak untuk saya gunakan sebuah komputer riba untuk menulis laporan.

Tablet Surface Go, apabila dipadankan dengan Surface Cover boleh digunakan di atas riba, ataupun di atas meja cocktail tanpa sebarang masalah. engsel tapak yang boleh diubahsuai hampir 180 darjah banyak membantu dalam pelbagai situasi di mana saya tidak mempunyai banyak ruang untuk menulis.

Tablet Surface Pro ini juga bagi saya tidak pernah mengecewakan dari segi paparan. Surface Go 3 mungkin dilihat menggunakan paparan PixelSense dengan resolusi yang lebih rendah berbanding dengan Surface Pro, tetapi olahan warna yang dapati diperlihatkan pada paparan tablet ini tidak kurang hebatnya.

Saya tidak perlu memaksimumkan nilai kecerahan paparan tablet ini untuk mendapatkan kecerahan yang selesa, malah, walaupun pada keadaan malap, warna yang diolah pada paparan PixelSense ini pada pendapat saya cukup cantik dan jelas sekali walaupun hanya separa cerah.

Dari segi prestasi komputer riba ini pula, Surface Go 3 ini cukup baik untuk digunakan sebagai peranti produktiviti ringkas harian. Tugasan seperti menulis laporan, menghadiri acara telesidang, melayari laman-laman web, membuka dan menyunting fail-fail dokumen semuanya boleh dilakukan tanpa masalah.

Walaupun begitu, salah satu isu yang saya hadapi dengan tablet ini, dan juga tablet Surface yang pernah saya gunakan sebelum ini ialah berkaitan dengan pilihan I/O tablet ini. Penambahan palam USB Type-C dan juga pembaca kad MicroSD mungkin mencukupi untuk segelintir pihak, tetapi bagi saya, sekiranya tablet ini juga hadir dengan satu sahaja lagi palam USB Type-A, saya akan katakan bahawa tablet Surface Go 3 ini cukup sempurna sekali.

Walaupun begitu, tablet ini hadir dengan rekaan yang mana ketebalan rangkanya hanyalah 8.3mm, jadi ini mungkin sebuah permintaan yang dilihat mustahil untuk dipenuhi.

Satu lagi isu yang mungkin akan dihadapi oleh pengguna ialah pemanasan peranti. Sepanjang masa singkat saya bersama peranti ini, ia secara lazimnya tidak pernah memanas, kecuali untuk dua situasi: pertama apabila ia sedang memainkan kandungan multimedia seperti video, dan kedua ialah apabila peranti ini perlu dicas.

Ini merupakan sesuatu yang baik juga kerana tablet Surface Go 3 ini hanya memerlukan sekitar sejam lebih untuk dicas dari kosong hingga penuh, dan tidak perlu disambungkan kepada bekalan kuasa sepanjang masa.

Isu terakhir saya dengan tablet Surface Go 3 ini, ialah sesuatu yang diperlihatkan sejak peranti Surface Pro pertama diperkenalkan, iaitu aksesori tambahan. Papan kekunci Surface Type Cover yang bagi saya ialah sebuah aksesori wajib untuk melengkapkan tablet ini.

Ini menyebabkan penawaran harga untuk tablet ini, iaitu RM2998 untuk model Intel Core i3 dan 8GB memori dan 128GB storan untuk melangkaui nilai RM3000 untuk dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya sebagai sebuah peranti multimedia yang cukup berkuasa untuk menyiapkan tugasan harian.

Aksesori Surface Type Cover masih lagi sebuah pembelian tambahan yang perlu dibuat oleh mereka yang mahu memaksimakan manfaat tablet ini, dan pada hemat saya, selagi Microsoft tidak menyatukan kedua-dua komponen ini dalam satu pakej, mana-mana tablet Microsoft Surface yang dijual, tidak kira Surface Pro ataupun Surface Go adalah sebuah peranti yang cukup sukar untuk disyorkan.

Penutup

Jika dilihat dari segi prestasi sahaja, peranti tablet Microsoft Surface Go 3 boleh dilihat sebagai pelengkap digital harian untuk segenap lapisan masyarakat. Rekaannya yang padat dan ringan, jangkahayat bateri yang boleh dikatakan agak panjang dan penggunaan sistem operasi Windows 11 yang cukup mesra pengguna membolehkannya digunakan untuk pelbagai tugasan harian.

Tetapi di dalam segmen peranti bernilai RM2500-RM3500 ini, pengguna mempunyai pelbagai pilihan lain di pasaran tempatan, seperti komputer riba yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat seperti Huawei, Realme, ataupun tablet iPad Air keluaran Apple.

Secara teknikal, anda juga boleh mendapatkan model yang dikuasakan Intel Pentium Gold 6500Y, tetapi model ini hadir dengan penawaran memori 4GB sahaja dan juga storan 64GB yang pada hemat saya tidak begitu berbaloi khususnya dari segi prestasi pada harga yang ditawarkan.

Pro

  • Saiz peranti yang nipis dan padat dan mudah dibawa kemana-mana
  • Paparan cerah
  • Prestasi baik untuk tugasan harian
  • Pilihan pengecasan
  • Menggunakan Windows 11 terus di luar kotak

Kontra

  • Harga mahal, khususnya apabila dipadan dengan papan kekunci Type Cover
  • Pilihan I/O yang masih lagi sedikit
  • Boleh menjadi panas dengan cepat apabila memainkan kandungan video dan sewaktu dicas
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd