Cari @ Amanz

Kelajuan internet melangkaui 1Gbit/s bukanlah sesuatu yang baru. bergantung kepada industri, kita boleh melihat kelajuan internet dari 10 ke 100Gbit/s, tetapi secara lazimnya kelajuan internet sepantas ini hanya diperlihatkan dalam sektor-sektor tertentu, seperti pusat data, makmal ujikaji teknologi, dan sebagainya dan hanya dimanfaatkan oleh mesin-mesin pelayan ataupun industri-industri kreatif digital yang memerlukannya.

Pada bulan Oktober tahun lepas, Comcast dilihat telah berjaya menguji sambungan internet 10Gbit menggunakan rangkaian ujian yang dibina dengan sebuah komponen yang dinamakan DOCSIS 4.0 yang membolehkan penghantaran sambungan internet multi-gigabit, selepas beberapa ujian sama dilakukan beberapa kali sebelum itu.

Terkini, Comcast dilihat menguji sebuah modem yang dibangunkan menggunakan komponen DOCSIS 4.0 yang dibangunkan oleh Broadcom, dan ujian awal memperlihatkan kadar muat turun dan muat naik data sepantas 4Gbps.

Apa yang mengagumkan mengenai teknologi DOCSIS 4.0 ini ialah ia dilihat boleh memanfaatkan rangkaian-rangkaian internet gentian optik sedia ada di seluruh Amerika Syarikat, dan secara teorinya, pengguna hanya perlu menggunakan modem dengan teknologi baru ini untuk memanfaatkan kelajuan multi-gigabit tersebut.

Ini dipadankan dengan rangkaian internet pintar yang sudahpun dibangunkan oleh Comcast sepanjang beberapa tahun yang lepas, yang mana para pelanggan mereka boleh memperlihatkan bukan sahaja kadar penghantaran data yang lebih pantas, tetapi juga masa pendam yang lebih rendah, penawaran rangkaian yang lebih stabil dan juga jangkamasa hidup rangkaian menghampiri 100 peratus.

Ujian rangkaian 10Gbit yang dilakukan ini juga dilihat sebagai ujian jarak jauh pertama, yang mana kes ujikaji eksperimen ini dilihat hadir dengan senario penggunaan internet di rumah yang sebenar. Dikala para pekerja di Amerika Syarikat dilihat semakin ramai bekerja dari rumah kerana wabak COVID yang masih lagi membelenggu negara tersebut, penawaran rangkaian internet yang sangat pantas ini memudahkan lagi kerja para pekerja-pekerja digital profesional ini tanpa perlu mengambil risiko ke pejabat.

Sumber: Venture Beat

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd