Redmi Note 11S Mungkin Dilengkapi Kamera 108MP – Pelancaran Tidak Lama Lagi

Diterbitkan pada Jan 14, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sudah menjadi kebiasaan atau trend buat jenama Xiaomi/Redmi sering hadir dengan variasi peranti berbeza di bawah satu siri. Terbaharu, terdapat sebuah lagi model baharu untuk siri Redmi Note 11 akan diumumkan tidak lama lagi. Ia berikutan adanya ciapan di Twitter rasmi Redmi India yang berkongsi mengenai perkhabaran tersebut.

Meskipun tidak berkongsi secara terbuka, namun ramai pihak menyasarkan model tersebut ialah Redmi Note 11S. Pengenalannya kelak akan menjadi model kemas kini untuk Redmi Note 10S dan ia juga dikhabarkan hadir dengan penawaran yang lebih kurang sama dengan pendahulunya itu. Dalam pada itu, rekaan fizikal Redmi Note 11S turut telah diperlihatkan dalam beberapa imej pengolokan tular.

Ia menunjukkan peranti mempunyai panel hadapan berlubang di tengah. Bersama-samanya, ia menampilkan skrin sejenis rata dengan saiz bezel yang seimbang pada bahagian sisi dan atas peranti. Turut melengkapinya, panel belakang dengan modul kamera utama berbentuk segi empat tepat. Melaluinya, ia dibekalkan sistem kuad -kamera dengan susunannya juga kelihatan mirip dengan beberapa model di bawah siri Redmi Note 11.

Turut boleh dilihat, terdapatnya penjenamaan ‘108MP AI Camera’ yang mana secara tidak langsung menunjukkan peranti kelak akan dibekalkan sensor utama dengan konfigurasi tersebut. Terdapat juga desas-desus yang mengatakan ia akan diikuti dengan tiga sensor lain dengan konfigurasi 8MP + 2MP + 2MP.

Buat masa ini, belum ada sebarang tarikh khusus untuk pelancaran peranti. Tetapi, kita boleh menjangkakan lebih banyak maklumat lanjut mengenainya yang bakal menjengah ke arena web. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan dan kami di Amanz akan terus mengemaskini untuk perkongsian semua.

Sumber : Xiaomiui

komen


© Amanz / 2022 Kami