Beberapa hari lalu, kami telah melaporkan bahawa Louis Vuitton telah melancarkan jam tangan pintar mereka, iaitu Louis Vuitton Tambour Horizon Light Up yang hadir dengan rekaan yang sangat menarik, dan juga menyokong pelbagai sistem operasi, seperti iOS, Android dan HarmonyOS tanpa masalah.

Louis Vuitton Tambour Horizon Light Up mempunyai skrin bulat 1.2″ AMOLED yang melengkung sepenuhnya ke bahagian sisi. Sisi melengkung ini memaparkan 24 ikon monogram yang setiap satunya boleh diubah mengikut keperluan pemakai dan berkelip apabila notifikasi diterima. Jam tangan dilengkapi cip Snapdragon Wear 4100 yang merupakan antara cip jam tangan pintar terkini di pasaran, memori 1GB RAM, storan 8GB dan bateri sepanjang hari.
Terkini, Louis Vuitton dilihat telah mengemaskini laman web tempatan mereka dengan penawaran jam tangan pintar ini, yang memperlihatkan penawaran harga permulaan RM15,000 untuk rangka jam yang diperbuat daripada keluli tahan karat.

Louis Vuitton juga memperlihatkan penawaran jam sama yang disaluti PVD (Physical Vapor Deposition) berwarna Matte Black dan Matte Brown pada harga RM18,050.
Sumber: Lowyat.net