Mengitar semula rekaan sedia ada bukanlah satu hal baharu untuk landskap peranti pintar. Malahan, kita sendiri sudah sedia melihatnya berlaku dalam beberapa situasi. Misalnya, Asus yang menggunakan rekaan yang hampir sama untuk peranti ROG Phone 4 dan ROG Phone 5 mereka sebelum ini.

Terkini, Nubia juga dijangka melakukan perkara yang sama untuk model baharu keluarannya kelak. Biarpun belum ada kepastian, peranti berkenaan dikhabarkan hadir dengan nama RedMagic 7 kelak. Beberapa imej yang memperlihatkan rekaan pada peranti juga telah tertiris menerusi laman persijilan MIIT.
Ia menunjukkan peranti dengan panel belakang seumpama RedMagic 6 sebelum ini. Dapat dilihat, kemasan menggunakan elemen yang hampir sama, di samping sistem tri-kamera juga masih menjadi pilihan RedMagic. Cumanya, modul kameranya dilihat sedikit lebih besar bersama LED Flash yang diletakkan bersama. Melengkapinya adalah butang bahu fizikal di bahagian sisi.

Rekaan panel hadapannya masih tidak dapat dikenalpasti, namun ia dijangka menampilkan skrin tanpa sebarang lubang. Spekulasi awal mengatakan peranti dijangka menggunakan skrin sejenis OLED sebesar 6.8-inci. Bukan itu sahaja, ia turut akan dibekalkan bateri sebesar 4,500mAh, kamera dengan sensor utama 64MP dan bateri dengan pengecasan 165W.
Sejauh mana kebenaran maklumat yang dikongsi, sama-sama kita nantikan.
Sumber : SparrowNews