Pada minggu lepas, kami ada melaporkan bahawa Black Shark 4 Pro akan diperkenalkan di pasaran tempatan pada hari ini. Sewaktu acara pelancaran tersebut, Intelligent Earnings, syarikat pengedar peranti dan aksesori Black Shark telah melancarkan peranti tersebut secara rasmi.
Black Shark 4 Pro hadir dengan skrin 6.67-inci Super AMOLED dengan kadar segar semula 144Hz, dijana cip Snapdragon 888, memori sehingga 12GB RAM, dan storan sehingga 256GB. Dengan fokus terhadap permua, ia turut menyertakan pengoptimasian khusus serta perisian tambahan untuknya. Ia dilihat sebagai sebuah penaiktarafan daripada cip Snapdragon 870 dan penawaran memori 8/12GB dan storan 128GB/256GB pada model Black Shark 4 sebelumnya.
Sama seperti peranti Black Shark 4, ia juga hadir dengan fungsi butang pintas fizikal yang boleh digunakan dengan permua, dan juga sebagai pintasan aplikasi ataupun fungsi-fungsi yang hadir pada peranti ini.
Bagi yang mahukan prestasi terbaik dari segi rangkaian, Black Shark 4 Pro turut hadir dengan sokongan untuk rangkaian 5G tempatan dan juga WiFi 6 yang menjanjikan kepantasan internet yang terhebat.
Black Shark 4 Pro juga hadir dengan kapasiti bateri 4500W dan menyokong teknologi pengecasan Hyper Charge 120W, khusus untuk mereka yang sering menggunakan peranti mereka untuk menggerakkan permua, dan mahukan sebuah peranti yang boleh dicas sehingga penuh dengan cepat.
Pra-tempah Black Shark 4 Pro akan dibuka di Malaysia pada 25 Januari 2022 dengan penawaran warna Misty Grey, Shadow Black dan Cosmos Black pada tanda harga permulaan RM2599 untuk model 8GB/128GB dan RM2999 untuk model 12GB/256GB. 100 individu pertama yang pra-tempah peranti ini juga akan menerima hadiah percuma bernilai RM500.
Black Shark 4 Pro akan mula dijual secara rasmi di semua platform jual-beli pada 4 Februari 2022 kelak.