Selepas enam tahun, YouTube akan menghentikan pengeluaran kandungan di bawah inisiatif YouTube Originals. Pengumuman dilakukan sejurus selepas berita ketua kandungan global mereka Susanne Daniels akan meninggalkan syarikat pada penghujung Mac. Pengumuman dilakukan oleh Robert Kyncl menerusi akaun Twitter beliau pagi ini.

YouTube Originals dihentikan bagi menumpukan perhatian kepada program Youtube Partner yang kini mempunyai lebih 2 juta peserta. Mereka akan hanya meneruskan pemberian dana kepada kandungan YouTube Kids dan Black Voices sahaja selepas ini.
YouTube Originals adalah usaha YouTube untuk menghasilkan kandungan kendiri yang dahulunya ditawarkan di bawah YouTube Red. Antara yang dihasilkan ialah rancangan bersiri PewDiePie, MKBHD dan Cobra Kai. Banyak rancangan telahpun dibatalkan dengan Cobra Kai kini distrim secara eksklusif di Netflix.