Siri Oppo Reno7 telah dilancarkan secara rasmi sekitar November yang lalu dengan beberapa model. Melaluinya terdapat tiga variasi berbeza yang ditawarkan – termasuklah Oppo Reno7 Pro, Reno7 dan Reno7 SE. Ketiga-tiganya juga hadir dengan penawaran berbeza bagi menjadikannya berada dalam kelas yang tersendiri.

Dalam perkembangan terkini, tular beberapa imej menerusi perkongsian LetsGoDigital yang dikatakan menunjukkan rekaan pada Oppo Reno8 Pro. Ia menunjukkan peranti mempunyai rekaan yang mirip dengan OnePlus 8T Cyberpunk 2077 Limited Edition. Panel belakang peranti hadir dengan rekaan modul kamera segi empat yang besar dengan tiga lensa utama yang disusun secara menegak pada sebelah kiri. Turut dapat dilihat, terdapatnya tiga bonggol kamera yang berbeza untuk setiap satu lensa berkenaan.
Seterusnya, panel hadapan pula adalah sejenis skrin berlubang dengan sokongan kamera swafoto tunggal. Saiz bezel kelihatan seimbang pada bahagian sisi dan atas, tetapi tidak pula pada bahagian bawah peranti. Ini adalah persamaan yang terdapat pada beberapa peranti di bawah siri Reno sebelum ini. Pada masa sama, sisi kanan menempatkan butang kuasa, seterusnya butang laras audio pula berada pada sisi kiri. Melengkapinya, ruang untuk slot SIM pada sisi kiri berkenaan.

Oppo Reno8 Pro dijangka tiba sekitar tahun ini tetapi masih tiada sebarang perkongsian lanjut mengenai tarikh pelancaran khususnya. Dalam pada itu, Oppo juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan yang tular ini. Sama-sama kita nantikan untuk ketahui lebih lanjut mengenainya dari masa ke semasa.
Sumber : LetsGoDigital