Pengenalan Rangkaian 5G Baharu Mengganggu Operasi Penerbangan Di Amerika Syarikat

Diterbitkan pada Jan 19, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Eksekutif tertinggi beberapa syarikat utama di Amerika Syarikat memberikan amaran pengenalan rangkaian 5G baharu oleh AT&T dan Verizon akan mengakibatkan gangguan kepada operasi penerbangan di seluruh Amerika Syarikat. Kedua-dua syarikat telekomunikasi utama ini mengaktifkan rangkaian 5G baharu mereka yang menggunakan jalur-C dengan frekuensi di antara 3.7-3.98 GHz.

Frekuensi ini boleh mengganggu sistem altimeter radio kapal terbang yang beroperasi pada frekuensi 4.2-4.4 GHz. Sistem ini amat penting bagi pesawat yang ingin melakukan pendaratan dengan selamat dan juga digunakan untuk membantu pendaratan dalam situasi angin lintang. Syarikat penerbangan A.S kini berkata pengenalan rangkaian 5G jalur-C boleh mengakibatkan 4% operasi penerbangan terganggu di 40 lapangan-lapangan terbang utama di seluruh negara.

AT&T dan Verizon walau bagaimanapun berkata gangguan tidak akan berlaku kerana pengenalan jalur-C di negara-negara lain tidak mendatangkan sebarang isu. Namun begitu mereka bersetuju untuk mengadakan ruang penampan berhampiran lapangan terbang selama enam bulan bagi mengelakkan sebarang isu seperti yang telah dilakukan di Perancis sebelum ini.

Sumber Reuters

komen


© Amanz / 2022 Kami