Antara perkara yang menimbulkan kemarahan ahli saintis mengenai siri TV Crime Scene Investigation ialah proses penjujukan DNA (DNA sequencing) dipaparkan boleh dilakukan dalam masa hanya beberapa jam. Hakikatnya ialah di dunia sebenar proses penjujukan lengkap boleh mengambil masa sehingga beberapa minggu kerana saiz data DNA manusia mencecah 200GB.

Penyelidik dari University of Stanford kini memegang rekod dunia Guinness dengan proses penjujukan DNA terpantas yang mengambil masa 5 jam 2 minit. Kemudian proses diagnosis mencari penyakit berdasarkan analisis mutasi DNA dapat dilakukan dalam masa 7 jam sahaja. Memendekkan lagi masa penantian pesakit yang ingin mengetahui penyakit yang dihidapi.
Proses penjujukan dipendekkan menggunakan teknik bacaan panjang dimana jujuk DNA sepanjang puluhan ribu pasang diimbas serentak. Mesin baharu yang terdiri daripada 48 unit penjujuk juga digunakan bagi mempercepatkan lagi proses. Walaupun pasukan berjaya mencatatkan rekod dunia, mereka percaya proses dapat dipendekkan sehingga separuh lagi di masa hadapan.
Ini adalah kejayaan yang cukup menakjubkan kerana proses melakukan penjujukan genom manusia yang lengkap dahulunya mengambil masa 13 tahun di bawah Human Genome Project yang dimulakan pada tahun 1990.