Selepas dilancarkan di beberapa pasaran luar, kini giliran Malaysia pula menerima penawaran Realme 9i. Peranti ini telah dilancarkan secara rasminya sebentar tadi dan antara yang terawal di Malaysia menggunakan Snapdragon 680.
Di samping itu, ia juga dibekalkan skrin dengan kadar segar semula tinggi, tetapi tidak menyokong 5G secara terbina. Bagi yang berminat, Realme 9i dijual pada harga bermula RM799 (4GB/128GB) dan RM869 (6GB/128GB) dengan dua pilihan warna iaitu Prism Blue dan Prism Black.


Realme 9i dilengkapi skrin 6.6-inci beresolusi FHD+ dengan kadar segar semula 90Hz. Ia juga dipadankan dengan memori sehingga 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Sebagai tambahan, terdapat juga ruang penambahan menerusi kad microSD dan RAM Maya mencapai 5GB.
Melengkapi peranti, sistem tri-kamera 50MP + 2MP + 2MP dan kamera hadapan pula adalah sebesar 16MP. Bateri pula 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas 33W. Lain-lain spesifikasi termasuklah – bluetooth 5.0, port sambungan USB-C, pembesar suara stereo, bicu audio 3.5mm dan sebagainya.