Ulasan Kanto YU6 – Inikah Permulaan Untuk Audio Bangsawan?

Diterbitkan pada Jan 24, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Muzik adalah seni. Untuk menghayati muzik secara mendalam, bukan mudah. Ada perkakasan dan aksesori audio khusus diperlukan. Jika setakat pembesar suara biasa atau set fon telinga, mahupun set fon kepala – ia mungkin tidak akan begitu enak dan butiran yang artis ingin pendengar mereka dengar tidak akan dapat dinikmati dengan pengalaman yang mengasyikkan.

Biasanya, produk audio sebegini digelar sebagai audio bangsawan kerana harga jualan yang tinggi. Tetapi lama-kelamaan, banyak sahaja pengeluar mula menemui alternatif untuk menawarkan pengalaman hebat pada harga mampu milik.

Kanto YU6 adalah pembesar suara yang ditujukan kepada mereka yang baru ingin berjinak-jinak untuk menjadi audiophile. Ia adalah pembesar suara rak buku (bookshelves speaker) premium yang jatuh dalam kategori “mampu milik”. Dalam ulasan ini, kami akan kongsi pengalaman menggunakan pembesar suara ini dan akan menjelaskan kepada anda sama ada adakah benar ia pembesar suara premium atau hanya sekadar gimik.


Spesifikasi Dan Rekaan

Kanto YU6
JenisPembesar suara rak buku
Pemacu Audio1″ Silk Dome Tweeters
5.25″ pemacu Kevlar
Amplifier kelas-D
TambatanBluetooth 4.0
Qualcomm aptX
Input3.5mm mini-jack AUX
RCA dengan Phono Switch
2x Optikal (TOSLINK)
OutputSubwoofer
USB-A 5V 1A
Sokongan aplikasiTiada
KawalanAlat kawalan jauh
Tombol berputar
Harga JualanRM2100 – Walnut
RM1950 – Biasa

Kanto YU6 bukanlah sebuah produk baru, malah ia sudah dilancarkan sejak 2016 lagi. Cuma ia baru dibawa masuk ke pasaran Malaysia bagi memenuhi kehendak peminat audio tegar yang sudah lama mengenali jenama ini. YU6 adalah pembesar suara rak buku, tetapi itu hanya sekadar gelaran dan bukannya perlu benar-benar diletakkan pada rak buku.

YU6 ada beberapa port sambungan untuk memasang kaki jika ingin lakukan tetapan teater rumah atau ruangan peribadi untuk menikmati audio. Ia juga bukannya produk dengan teknologi terkini, kerana berpegang dengan konsep kalau tidak rosak, kenapa perlu baiki/tukar?

Binaan unit yang kami terima ini cukup menarik dan seksi. Kayu walnut yang cantik dan tampak klasik, ada tombol berputar yang selesa digunakan, ada lampu LED untuk indikasi kawalan atau sambungan serta padat dengan port sambungan yang memberi kebebasan kepada pengguna.

Unit yang kami terima untuk diuji adalah antara model yang mahal kerana binaan kayu walnut. Kayu ini ada memberi kesan berbeza dari segi pengalaman pendengaran.

YU6 boleh digunakan dengan sambungan Bluetooth 4.0, tetapi kami lebih gemar menggunakan sambungan berwayar kerana dalam ujian kami ia memberi kualiti audio yang lebih baik. Kualiti kabel yang diberikan juga adalah kabel seimbang yang berkualiti dan bukannya dari jenis murahan.

YU6 juga bukan jenis mudah-alih, jadi ia tidak boleh dialihkan dan jika sudah ditetapkan pastikan itulah yang terbaik. Jika tidak, akan menjadi leceh untuk dialih-alihkan.

Kualiti Audio

Setiap orang mempunyai citarasa berbeza dalam pendengaran muzik. Ada yang suka bass ada yang suka yang tenang dan ringan ada juga yang suka yang nada tinggi. Tetapi untuk keseluruhan, Kanto YU6 ini sebenarnya baik sahaja secara keseluruhan.

Kanto YU6 ini juga mempunyai keseimbangan yang baik dari kiri dan kanan dan audio dilontarkan di tengah-tengah. Kerana sweet spot adalah di hadapan pembesar suara di bahagian tengah-tengah.

Bass/Lows

Bass pada YU6 memerlukan pembesar suara berdekatan dengan dinding untuk ia dipantul kembali memberi kesan getaran dentuman yang lebih rancak. Tetapi disebabkan tiada sub-woofer, bass pada YU6 adalah sedikit kurang memuaskan dan seakan mengepung bahagian lain menjadikannya kurang enak. Tetapi apabila suasana ditetapkan dengan baik, pembesar suara disusun dengan betul – ada kalanya bass boleh memberi kesan dentuman yang dalam.

Getaran bass memang kuat, dinding dan meja boleh rasa getarannya. Ia juga tidak mempunyai beberapa frekuensi sub-bass yang membuatkan ia mengganggu pengalaman pendengaran muzik kegemaran saya sendiri seperti muzik-muzik pop daripada Taylor Swift dalam album Red baharu. Muzik oleh Ed Sheeran seperti Bad Habits agak memuaskan, tetapi jika diteliti memang jelas ada kurangnya.

Bass pada muzik klasik seperti Bohemian Rhapsody akan lebih jelas kedengaran yang bass pada pembesar suara ini memerlukan sedikit lebih perhatian.

Vokal/Mids

Keseluruhan audio yang dihasilkan adalah baik dan cukup jelas. Audio yang dihasilkan adalah jenis yang menenangkan kerana bass yang tidak begitu gah tadi. Vokal yang jelas ini adalah pada kedua-dua pada lelaki dan wanita, tetapi masih bergantung kepada jenis muzik yang didengari juga.

Muzik yang saya nyatakan di atas tadi adalah muzik kegemaran peribadi, untuk muzik tersebut vokal sedikit tenggelam kerana bass seolah bocor dan termasuk ke bahagian vokal. Audio yang dinamik dan seakan segar dan memberi pengalaman yang baik jika sudah temui muzik terbaik.

Kami ada sambungkan pada DAC/AMP mudah-alih kerana ingin mainkan muzik menggunakan wayar melalui sumber daripada telefon pintar. Hasil ternyata lebih bersih dan enak, tetapi perbezaannya tidak begitu ketara jika tidak telinga kurang sensitif.

Nada Tinggi/Highs

Nada tinggi pada pembesar suara ini tidak begitu tinggi dan seakan tidak tercapai ke tahap yang sepatutnya ia capai. Apabila ada muzik bahagian nada tinggi, sedang syok layan – ia akan terus terpotong dan mengganggu pengalaman pendengaran. Nada tinggi pada pembesar suara ini adalah seakan pada bass kerana ia tidak mempunyai definisi terbaik yang diingini.

Pementasan Audio & Pengasingan

Seperti yang dijelaskan tadi, YU6 mempunyai audio yang cukup seimbang dan mampu melontarkan audio yang baik pada pelbagai arah. Setiap instrumen juga boleh dengar dengan jelas, disebabkan ia boleh dengar dengan jelaslah nada tinggi dan bass tadi kami boleh tangkap yang ia ada kurangnya.

Pementasan audio yang berada di hadapan yang lebar dan hampir mengelilingi pendengar ini agak unik dan menarik. Lagi jauh diasingkan pada kiri dan kanan, lagi lebar ia akan jadi.

Dengan pementasan dan pengasingan audio seperti ini, ia memberikan pengalaman pendengaran yang akan membuatkan anda terfikir – bolehkah kualiti audio seperti ini didapati pada pembesar suara lain yang lebih murah?

Lain-lain

Walaupun binaannya daripada kayu walnut ini memberikan kami audio yang enak, sukar untuk kami bezakan dengan model yang menggunakan binaan plastik kerana tidak diberikan kedua-duanya untuk membezakannya. Tetapi biasanya bahan binaan seperti ini adalah untuk mengelak beberapa masalah yang kerap berlaku pada bahan plastik atau besi.

Binaan premium ini hanya ada pada pembesar suara dan alat kawalan jauh yang diberikan adalah tidak berkualiti – kerana plastik murahan sahaja. YU6 juga adalah pembesar suara jenis aktif, jadi DAM/AMP mudah alih yang saya katakan tadi sebenarnya tidak perlu pun tidak mengapa, kerana tidak begitu ketara jelasnya. Input juga sedikit kurang berkualiti kerana jika tidak sambungkan dengan baik akan ada kesan statik.

Kesimpulan

Kanto YU6 tidak dinafikan adalah pembesar suara rak buku yang baik. Untuk produk yang diperkenalkan sejak 2016, ia berusia dengan baik kerana masih enak sahaja. Tetapi untuk melengkapkan lagi pengalaman pendengaran yang lebih baik, sub-woofer amatlah digalakkan untuk anda miliki untuk melengkapkan bass yang lebih dalam dan dentuman yang lebih enak.

Cuma harga untuk model kayu ini RM2100 agak tinggi untuk produk yang sudah berusia enam tahun. Ia seakan tidak pernah turun harganya. Jika pandai cari, tidak terkejut jika ada jenama lain yang mampu memberikan kualiti audio lebih kurang sama pada harga lebih mampu milik. Enam tahun adalah masa yang cukup untuk pesaing hadir dengan versi alternatif.


Pro

  • Kualiti audio yang enak dari segi vokal.
  • Binaan yang premium dan rekaan yang ringkas.
  • Pilihan sambungan yang banyak memberi pendengar kebebasan.

Kontra

  • Bass yang kurang puas, dan memerlukan sub-woofer.
  • Teknologi yang digunakan masih lama.
  • Harga jualan yang mahal.

komen


© Amanz / 2022 Kami