Instagram Mulakan Ujian Langganan – Bayar Untuk Ikuti Kandungan Eksklusif Dari Sesuatu Akaun

Diterbitkan pada Jan 20, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Instagram hari ini mengumumkan pengenalan ujian untuk ciri Instagram Subscriptions. Melalui ciri ini, ia membolehkan seseorang penerbit kandungan di Instagram menawarkan langganan berbayar – sekaligus memberikan kandungan eksklusif kepada mereka yang melanggan.

Untuk makluman, ciri seumpamanya sedia ditawarkan melalui YouTube dan Twitch – dimana pengguna melanggan atau membayar penerbit kandungan untuk mengikuti penerbitan eksklusif dari sesuatu saluran.

Pada Instagram, penerbit kandungan boleh tetapkan harga antara 99 sen sehingga $99 sebulan. Instagram mengatakan sesuatu akaun atau profil boleh bukan sahaja menjana pendapatan melaluinya, dan pada masa yang sama turut membolehkan anda berinteraksi dengan lebih dekat dengan peminat dan pengikut tegar.

Dengan langkah ini juga, untuk penerbit kandungan di eksklusif boleh memilih sama ada ingin menerbitkan kandungan secara terbuka kepada semua, atau melakukan perkongsian langsung dan Stories kepada mereka yang membayar sahaja.

Buat masa ini, ciri ini diperkenalkan untuk 10 akaun di Amerika Syarikat sahaja dalam usaha menguji penerimaannya. Instagram turut mengatakan mereka tidak akan mengambil sebarang caj sehingga 2023 kelak.

komen


© Amanz / 2022 Kami