Kereta Terbang Jetson ONE Boleh Dibeli Pada Harga RM385,000

Diterbitkan pada Jan 20, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Beberapa projek kereta terbang yang kami paparkan sebelum ini masih dalam proses ujian prototaip bagi mendapatkan lesen operasi. Ada juga yang tidak dijual kepada umum kerana hanya menyasarkan perniagaan. Bagi mereka yang tidak lagi mampu bersabar untuk memiliki kereta terbang, Jetson ONE telah mula dijual kepada umum dengan ia akan diterima seawal 2023.

Jetson ONE ialah kereta terbang yang dibangunkan oleh firma Jetson yang berpangkalan di Sweden. Kereta terbang mereka dilengkapi lapan motor elektrik dan membawa satu penumpang. Ia mampu terbang pada kelajuan 102 km/j dan beroperasi sehingga 20 minit dengan sekali caj. Penerbangan dilakukan sendiri oleh juruterbang dengan bantuan sensor LiDAR bagi mengelakkan pelanggaran dengan objek lain ketika terbang.

Dalam situasi kecemasan, Jetson ONE masih boleh terbang dengan satu motor gagal beroperasi. Jika kegagalan penuh berlaku, sebuah payung terjun akan ditembak keluar bagi memastikan kereta boleh mendarat dengan selamat. Menerusi penggunaan kerangka aluminium, Jetson ONE hanya sebesar 86kg dengan berat maksimum juruterbang pula ialah 95 kg.

Sebanyak 100 Jetson ONE pertama telah berjaya dijual pada harga $92,000 (~RM385,158) sebuah dengan 3000 lagi pelanggan dimasukkan ke dalam senarai menanti. Yang menjadikan kereta terbang ini menarik ialah ia tidak memerlukan lesen penerbangan untuk digunakan di Amerika Syarikat.

komen


© Amanz / 2022 Kami