Cari @ Amanz

Penyakit diabetes jenis 1 adalah berbahaya apabila berlaku pada kanak-kanak kerana mereka tidak menyedari betapa seriusnya penyakit yang dihidapi serta dos yang berubah mengikut keperluan. Tahap gula dalam darah perlu diuji lebih kerap berbanding orang dewasa yang boleh mengakibatkan mereka mengalami isu hipoglisemia lebih mudah. Masalah diabetes jenis 1 pada kanak-kanak cuba diselesaikan dengan menggunakan pankreas buatan manusia dan kini dalam ujian di UK ia ternyata berkesan.

Pankreas buatan manusia CamAPS FX dibangunkan oleh University of Cambridge. Ia terdiri daripada sensor kulit yang sentiasa mengesan tahap gula, pam insulin fizikal luar tubuh dan aplikasi CamAPS FX pada telefon pintar. Aplikasi sentiasa memantau tahap gula dalam darah menerusi sensor kulit. Ia secara automatik melakukan perkiraan jumlah insulin yang perlu disuntik ke dalam tubuh pesakit kanak-kanak bagi memberikan dos yang mencukupi.

Keran tahap gula dan jumlah insulin yang diperlukan dilakukan secara automatik, ia mengurangkan kerisauan di kalangan ibu bapa. Aplikasi turut mempunyai kecerdasan buatan yang dapat mengagak apa yang akan dilakukan oleh pesakit berdasarkan trend serta aktiviti terdahulu mereka. Dengan ini dos bersesuaian dengan aktiviti dapat diberikan.

CamAPS FX masih lagi di peringkat ujian kerana belum lagi sempurna. Dalam kumpulan ujian yang terdiri daripada 74 peserta, kandungan glukosa dalam darah berjaya memenuhi sasaran 71.6% sehari yang adalah 9% lebih baik berbanding kumpulan kawalan.

Selain penggunaan pankreas buatan manusia, rawatan sel tunjang juga sedang diuji untuk merawat diabetes jenis 1 yang semalam ini dikatakan tidak boleh dirawat.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd