Cari @ Amanz

Samsung Z Flip3 adalah antara telefon dengan skrin boleh-lipat yang baik dan menarik. Ini kerana ia hanyalah sebuah telefon pintar biasa yang boleh dilipat, dan bukannya telefon yang dibuka lipatan menjadi tablet. Itu adalah pandangan peribadi sendiri, tetapi saya sendiri lebih menggemari Z Fold3 kerana saiz skrin yang memuaskan.

Masalah pada Z Flip3 ini adalah skrin luar yang kecil dan sukar untuk digunakan. Berbeza dengan Motorola Razr yang skrin luar lebih besar dan banyak fungsi boleh digunakan.

Terkini seorang pembangun bebas yang popular dengan aplikasi Energy Ring dan Access Dots telah hadir dengan aplikasi CoverScreen OS. Aplikasi ini mampu memanfaatkan skrin luar Z Flip3 sepenuhnya, kerana aplikasi ini berfungsi sebagai pelancar dan membolehkan pengguna menggunakan semua aplikasi pada skrin luar ini.

Bukan itu sahaja, aplikasi ini turut membenarkan pengguna tambah lebih banyak widget untuk memudahkan lagi tugasan produktiviti serta turut menawarkan titik berwarna yang mimik lampu notifikasi LED. Dalam cubaan di makmal Amanz, video YouTube, aplikasi Amanz, pelayar web, papan kekunci arahan suara dan banyak lagi turut boleh digunakan.

Antara faedah utama adalah boleh menjawab panggilan WhatsApp dengan mudah, balas mesej dengan pantas, atau jika anda ingin cuba – permua juga boleh dimainkan. Kawalan skrin ini adalah 100% menggunakan gestur sentuhan, dan tap sekali. Tetapi untuk melancarkan sesuatu aplikasi, Bixby wajib digunakan berserta dengan imbasan cap jari.

Aplikasi ini percuma digunakan, tetapi terhad. Jika ingin menggunakan kesemua ciri dan fungsi, langganan bulanan adalah RM44.99, 6 bulan RM36.99 sebulan dan RM29.99 sebulan untuk setahun. Jika ingin bayar terus, harga adalah RM439.99.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd