Tatkala pasaran untuk komponen kad grafik dilihat masih lagi sukar untuk orang ramai membelinya, AMD baru-baru ini telah melancarkan kad grafik terbaru mereka, iaitu AMD Radeon RX 6500XT yang memfokuskan kepada gaming pada resolusi Full HD.
Hadir dengan cip pemprosesan grafik Navi24 terbaru yang dibina menggunakan proses 6nm, kad grafik ini dilihat mempunyai 1024 teras GPU, memori GDDR6 sebanyak 4GB dan kelajuan Boost Clock 2815MHz.

Sama seperti kad-kad grafik AMD yang dilancarkan dibawah nama RX 6000, ia turut hadir dengan sokongan untuk ciri-ciri seperti cache Infinity Fabric yang mengurangkan masa pendam penghantaran data, Smart Access Memory yang meningkatkan prestasi kad grafik apabila dipadankan dengan CPU AMD Ryzen, dan juga FidelityFX Super Resolution yang membolehkan resolusi permainan dipertingkatkan dengan prestasi yang sama pada resolusi lebih rendah.
Walaupun begitu, tidak seperti pelancaran kad-kad grafik sebelum ini, AMD Radeon RX 6500XT tidak akan dilancarkan dengan penyejuk khusus keluaran AMD. Syarikat-syarikat pembuat kad grafik seperti ASUS, MSI, GIGABYTE dan sebagainya dilihat akan melancarkan penawaran kad grafik mereka sendiri.

Dari segi harga, AMD mengatakan bahawa harga jualan kad grafik ini ditetapkan pada $199 (~RM840), tetapi ASUS Malaysia dilihat menetapkan harga jualan penawaran kad grafik mereka pada RM1470 untuk kad grafik ASUS TUF RX6500XT O4G Gaming, dan RM1360 untuk kad grafik ASUS Dual RX6500XT O4G mereka.