Cari @ Amanz

Terdahulu, tularnya desas-desus yang mendakwa bahawa siri Realme 9 dijangka hadir dalam empat variasi model berbeza. Salah satu daripadanya dikenali sebagai Realme 9 Pro+ dan spesifikasi dalamannya kini telah tertiris sepenuhnya menerusi perkongsian OnLeaks dan Smartpix.

Peranti dikhabarkan hadir dengan janaan MediaTek Dimensity 920 dengan padanan memori sehingga 8GB RAM dan storan dalaman mencapai 256GB. Seterusnya, ia juga akan menampilkan panel hadapan sejenis Super AMOLED sebesar 6.43-inci dengan kemampuan kadar segar semula 90Hz. Turut melengkapinya, penggunaan skrin berlubang untuk kamera swafoto tunggal sebesar 16MP dan binaan bezel yang seimbang pada bahagian sisi serta atas perant.

Panel belakang pula menunjukkan sokongan tri-kamera dengan susunan seumpama yang terdapat pada Realme GT Neo2. Tetapan kamera terdiri dengan 50MP + 8MP + 2MP dan peranti ini akan menggunakan sensor daripada Sony untuk kamera utama berkenaan. Tidak ketinggalan, kapasiti bateri 4,500mAh turut akan digunakan dengan sokongan pengecasan pantas yang masih belum didedahkan mengenai kuasa output-nya.

Siri Realme 9 telah disahkan tiba pada tahun ini, namun tarikh pelancaran rasminya masih tidak diketahui sehingga ke hari ini. Tetapi, Realme menjanjikan perkakasan dalaman lebih baik untuk model kali ini. Tambahan pula, pengenalan Realme 8 Pro sebelum ini pernah dihujani dengan komen yang kurang enak ekoran daripada penggunaan cip yang sama sejak Realme 6 Pro .

Sumber : OnLeaks

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd