Cari @ Amanz

Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini mengumumkan, vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berumur antara 5 ke 11 tahun akan ditawarkan bermula Februari 2022 ini.

KKM melalui Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) telah menganalisa data keselamatan dan keberkesanan, sekaligus bersetuju untuk memberikan kelulusan bersyarat kepada Vaksin Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (Pfizer BioNTech) untuk kegunaan kanak-kanak berusia 5 ke 11 tahun.

Penggunaan vaksin Comirnaty formulasi khas untuk kanak-kanak ini turut telah dilaksanakan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Israel, Australia dan Singapura.

Formulasi vaksin Covid-19 khas ini akan dibekalkan didalam bebuli 10-dos berpenutup jingga, dan perlu dicampur dengan 1.3mL larutan garam biasa. Setiap dos yang diberikan adalah 0.2mL dan mengandungi 10mcg vaksin mRNA. Secara kasar, dos ini adalah satu pertiga daripada dos yang digunakan dalam dos dewasa.

Program vaksinasi kanak-kanak ini memerlukan dua suntikan dos vaksin, dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama. Buat masa ini, vaksinasi Covid-19 ini adalah disyorkan untuk kanak-kanak berumur 5 tahun ke 11 tahun. Keutamaan turut diberikan kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan.

Tempahan janji temu vaksinasi bagi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun ini akan dibuka secara berperingkat bermula 31 Januari 2022, dan dibuka kepada ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang terlebih dahulu.

Sistem tempahan janji temu melalui MySejahtera akan mula dibuka pada penghujung Januari 2022 ini. Perincian mengenai akses kepada sistem tempahan janji temu ini akan dikongsikan dalam masa terdekat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd