Cari @ Amanz

Dalam siri animasi klasik Macross, kapal terbang pejuang VF-1 boleh berlepas dari permukaan bumi dan terus ke angkasa lepas. Proses ke angkasa lepas dengan hanya menjalani satu tahap ini masih lagi fiksyen kerana biasanya tiga tahap roket diperlukan setiap satunya memecutkan kapal angkasa ke lebih laju untuk tiba ke angkasa lepas.

Walaupun masih lagi fiksyen, ia tidak menghalang Radian Aerospace untuk cuba menjadikannya sistem pelancaran satu-tahap-ke-orbit (SSTO) realiti. Syarikat tunas rintis ini memperlihatkan konsep Radian One yang boleh membawa penumpang ataupun kargo ke orbit bumi rendah (LEO).

Kapal terbang angkasa lepas ini akan memulakan perjalanan dari permukaan bumi di atas landasan luncur terlebih dahulu sebelum enjin roket dihidupkan. Ia kemudiannya terbang terus ke LEO sebelum berlabuh ke stesen angkasa untuk memindahkan angkasawan sebelum pulang semula ke bumi seperti sebuah Space Shuttle.

Pada waktu ini Radian Aerospace masih di peringkat awal selepas menerima dana rintis $27.5 juta (~RM115 juta) daripada beberapa pelabur tetapi mereka mempunyai perancangan menjadikannya realiti menjelang 2025. Sasaran yang agak tidak realistik memandangkan beber beberapa percubaan untuk menghasilkan pesawat SSTO sebelum ini menghadapi kegagalan sebelum prototaip melakukan penerbangan ujian.

Projek SSTO X-33 NASA dan Lockheed Martin VentureStar misalnya dihentikan pada tahun 2001. Sungguhpun begitu Radian Aerospace percaya selepas lebih 20 tahun, teknologi semasa lebih maju untuk menjadikan projek yang dianggap mustahil ini akhirnya menjadi realiti.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd