Dua tahun yang lalu penggunaan straw plastik telah mula diharamkan di restoran seluruh negara bagi mengelakkan kematian haiwan laut seperti penyu. Penjualan straw logam dan kertas meningkat naik kerana ramai pengguna tidak mahu menyumbang lagi kepada lambakan sisi plastik mikro di muka bumi. Tentu ramai mengingatkan straw logam adalah ciptaan baharu. Tanggapan ini semua salah kerana ahli arkeologi dari Rusia mengumumkan penemuan straw tertua dunia.

Lapan batang tiub logam sepanjang satu meter ditemukan pada tahun 1897 di Maikop Kurgan, Kaukasus. Terdapat beberapa teori mengenai kegunaan tiub logam yang dianggarkan berusia 5000 tahun yang ditanam bersama tiga individu yang dipercayai adalah golongan bangsawan. Antaranya ialah ia adalah tiang untuk khemah dan tongkat yang menunjukkan kuasa seseorang.
Tiub dipamerkan di Muzium Hermitage St Patersburg sebelum ahli arkeologi melakukan analisa lebih mendalam. Butiran kanji barli ditemukan di dalam rongga kosong tiub logam yang memberikan petunjuk ia digunakan untuk meminum arak. Sebuah belanga logam yang turut dijumpai ahli arkeologi bersama dengan tiub dipercayai pula adalah tempat simpanan arak.

Ahli arkeologi kini percaya straw logam ini digunakan untuk meminum arak dari belanga secara serentak. Walaupun lapan tiub ini kini disahkan sebagai straw tertua, straw sebenarnya telah wujud 5000 tahun sebelum Masihi berdasarkan tablet tanah liat yang ditemui di Mesopotamia dan Sumeria.
Sumber Cambrige University Press dan NewAtlas