Parallel Ingin Menggantikan Kereta Api Kargo Dengan Sistem Gerabak Elektrik Swapandu

Diterbitkan pada Jan 21, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Semua sistem pengangkutan sedang cuba diterapkan ciri swapandu dan swalayar. Alasan yang diberikan ialah sistem komputer dengan kecerdasan pintar tidak akan lalai atau penat seperti yang dikendalikan oleh manusia. Pada kereta beberapa sistem tahap 3 telah digunakan dengan jayanya untuk roboteksi. Tetapi satu industri yang masih di takuk lama ialah industri rel yang masih menggunakan kepala tren dengan pemandu manusia.

Parallel Systems ingin melakukan anjakan paradigma sistem pengangkutan kargo menggunakan rel. Ditubuhkan oleh tiga bekas kakitangan Tesla serta SpaceX, tidak mengejutkan Parallel menggunakan kuasa elektrik dan hadir dengan sistem swapandu. Menerusi sistem mereka sepasang platform berkuasa elektrik boleh membawa sehingga dua kontena kargo yang kemudiannya dihantar kepada pelanggan.

Kerana ia sistem swapandu, kontena kargo boleh dihantar terus ke destinasi tanpa perlu menggunakan gerabak yang panjang. Tetapi ia masih boleh beroperasi secara berkumpulan dalam platun kecil sekiranya menuju ke destinasi yang sama. Setiap gerabak dalam platun tidak bersambung bagi memudahkan setiap kontena berpisah dengan sendiri apabila diperlukan.

Satu lagi kelebihan ialah ia boleh berhenti untuk kecemasan 10 kali ganda lebih pantas berbanding kereta api diesel yang panjang. Penggunaan tenaga elektrik pula mengurangkan pencemaran dengan setiap platform boleh beroperasi sehingga 800 km dengan sekali caj. Menurut Parallel sistem mereka juga hanya menggunakan 25% tenaga berbanding lori elektrik.

Syarikat baru sahaja menerima suntikan dana $49.55 juta (~RM207 juta) dan memulakan ujian rel tertutup di Los Angeles. Tidak seperti sistem swapandu kereta, sistem swapandu kereta api lebih mudah kerana sistem rel yang tertutup dan hanya perlu mengesan halangan di hadapan mereka seperti kereta yang terhenti di lintas.

komen


© Amanz / 2022 Kami