Carian
Penanda Aras Kad Grafik Intel Arc Alchemist Tertiris – Memperlihatkan Prestasi Awal Setaraf RTX 3070 Ti
January 21, 2022 Nazrin

Intel mungkin telah menunda pengumuman dan pelancaran kad grafik Arc Alchemist mereka, tetapi terkini, ia dilihat bahawa kad grafik tersebut sedang diuji di makmal syarikat tersebut, dan salah satu daripada skor ujian penanda-arasnya telah tertiris ke arena web.

TUM APISAK, salah seorang daripada peniris butiran komponen komputer yang cukup terkenal telah memperlihatkan sedikit butiran dalaman kad grafik Arc Alchemist ini, dan juga skor penanda aras daripada syarikat perisian penyenaraian dan penanda aras SiSoftware.

Pertama, kad grafik yang diuji ini dilihat hadir dengan jumlah penuh 4096 teras dalam cip pemprosesan grafik DG2-512EU, dan hadir dengan kelajuan 2.1GHz, yang setakat ini tidak diketahui lagi samada ia adalah kelajuan asas ataupun kelajuan yang dilewahjam. Ia juga memperlihatkan jumlah memori GDDR6 12.8GB, yang mungkin kurang tepat, khususnya kerana ia dijangka bahawa kad grafik ini akan hadir dengan sebanyak 16GB memori tersebut.

Beralih kepada skor penanda aras, melalui perisian yang sama, kad grafik Intel Arc Alchemist ini hadir dengan skor double float, triple float dan quad float yang lebih tinggi berbanding dengan NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti, tetapi mempunyai skor rendah melalui penanda aras half float dan single float.

Ini hanyalah penanda aras pemprosesan grafik biasa sahaja, dan setakat ini masih belum menunjukkan sebarang bukti bahawa ia adalah pencabar kad grafik tersebut dalam penggunaan gaming sebenar. Walaupun begitu, ia boleh juga dilihat sebagai penanda baik bahawa Intel bukanlah mahu membangunkan kad grafik dengan prestasi kelas pertengahan sahaja.

Lebih menarik lagi, kad grafik yang menggunakan cip grafik DG2-512EU ini akan dibangunkan untuk kedua-dua platform desktop dan juga komputer riba, jadi ia tidak mengejutkan sekiranya tidak lama lagi kita akan memperlihatkan komputer desktop dan komputer riba yang dikuasakan sepenuhnya oleh Intel.

Sumber: VideoCardz

Komen