Samsung Galaxy Tab A8 dilancarkan di Malaysia hari ini sebagai satu lagi tablet kelas pertengahan mampu milik. Tablet dilengkapi skrin 10.5″ TFT, dijana cip lapan teras, memori 3GB, storan sehingga 32GB dan bateri sebesar 7040 mAh yang menyokong pengecasan 15W.

Kamera utama sebesar 8MP dipadankan pula dengan kamera 5MP di hadapan. Jelas ini sebuah peranti kelas pertengahan yang akan dipasarkan pada harga lebih mampu milik. Terdapat sistem audio stereo menerusi empat speaker lengkap dengan audio Dolby Atmos serta bicu audio 3.5mm. Bagi yang memerlukan storan lebih besar, tablet menyokong kad mikro SD sehingga 1 TB. Tiada sokongan untuk stylus diberikan tetapi peranti menggunakan sistem operasi Android 11 dengan pelancar One UI.
Di Malaysia Samsung Galaxy Tab A8 dijual pada harga RM999 untuk versi 3/32GB WiFi, Pembelian bermula hari ini sehingga 28 Februari akan menerima hadiah percuma Clear Edge Cover bernilai RM99 dan jaminan Samsung Care+ setahun bernilai RM110.