Akhir Disember tahun lalu aku akhirnya berjaya melarikan diri dari kerja dan Kuala Lumpur selepas hampir tiga tahun tidak bercuti. Pandemik yang melanda bumi dan kekangan pergerakan akibat PKP menyebabkan aku terperangkap di ibu kota. Kebebasan yang dinikmati sejurus selepas PKP dimansuhkan aku gunakan sebaik mungkin untuk pergi bercuti di Pulau Pinang.
Sebelum melakukan tempahan hotel, aku menggunakan pelbagai laman popular seperti Trivago, Booking, Traveloka, dan Agoda bagi mencari tempat penginapan yang paling berbaloi dengan bayaran yang dikenakan. Apa yang aku sedari ialah kesemua laman mempunyai markah untuk kebersihan, kemudahan, layanan, keselesaan bilik dan lokasi hotel yang semuanya ditinggalkan sendiri oleh pelanggan.
Tetapi tidak ada satupun laman yang mempunyai pemarkahan khas untuk kelajuan Internet dan kemudahan untuk menyambung peranti milik pelanggan kepada sistem audio visual. Yang biasa dipaparkan ialah sama ada hotel menawarkan WiFi percuma di setiap bilik tetapi ini tidak adalah tidak memadai bagi aku yang masih akan bekerja semasa bercuti sekiranya berita penting perlu ditulis dengan segera.
Satu-satunya cara untuk mengetahui sama ada Internet yang ditawarkan hotel cukup pantas atau tidak ialah membaca setiap satu ulasan yang ditinggalkan pelanggan. Ini bukanlah perkara yang mudah memandangkan terdapat ribuan ulasan dan puluhan hotel perlu diperiksa satu persatu.
Kalau ada ulasan sekalipun ianya tidak hadir dengan matriks yang mudah difahami. Apakah maksud “WiFi hotel ini mantap bossque”? Cukup pantas untuk melayari Facebook atau menstrim video YouTube pada tetapan sekurang-kurangnya 1080p? Bilakah pula ulasan ditinggalkan? Adakah ketika waktu puncak dengan hotel berkapasiti tinggi atau di waktu siang pada hari Rabu yang lengang?
Kita sudah di tahun 2022 tetapi keperluan asas seperti Internet masih tidak disenaraikan dengan markah seperti ianya penting untuk pelanggan duduk bermalam selama beberapa hari. Dengan Internet kini diiktiraf seperti hak asasi asas oleh PBB, penawaran WiFi dengan kelajuan yang memuaskan sepatutnya menjadi keperluan dan bukan lagi dianggap sebagai kemewahan.
Anda tidak akan berpuas hati jika tekanan air di hotel kadang kala laju kadang kala panas. Pasti mengamuk jika air panas hanya berfungsi apabila hotel hanya berkapasiti 30%. Mungkin akan tular di media sosial jika elektrik di hotel hanya mampu memberikan kuasa kepada lampu dari jam 10 pagi hingga 4 petang sahaja. Jika semua ini tidak boleh diterima anda, kenapa perkhidmatan Internet yang menyiput oleh hotel masih boleh diterima?
Pada tahun 2014 wujud usaha dari HotelWifiTest untuk menunjukkan markah Internet di laman seperti Expedia dan Hotels.com tetapi pemalam Chrome yang diusahakan sudah tidak dikemaskini sejak 2015 dengan laman rasmi pembangun juga tidak lagi beroperasi. Malang sekali kerana antara perkara asas yang sering kami minta pengeluar yang membawa kami ke luar negara ialah tinggal di hotel dengan kelajuan Internet yang pantas bagi memudahkan fail video bersaiz besar dimuat naik untuk diproses oleh editor video di Malaysia. Lokasi tak bagus, bilik kecil dan tiada kemewahan tidak mengapa asalkan internetnya sepantas kilat.
Alang-alang aku sudah menyentuh topik Internet di hotel, izinkan aku meluncur terus ke topik kemudahan menyambung peranti kepada sistem audio visual hotel. Mengapa ini penting? Kerana berapa ramai di kalangan pembaca yang pernah berpuas hati dengan kandungan hiburan yang ditawarkan oleh hotel menerusi saluran Vision Four atau Astro mereka? Sebagai insan yang sudah tiga tahun memotong kabel dan hanya melanggan perkhidmatan penstriman seperti Prime Video, Netflix dan HBO GO, aku tidak lagi menonton kandungan televisyen berjadual.
Aku ingin hanya menonton kandungan yang telah dilanggan. Semasa bercuti tempoh hari, The Witcher musim kedua ditayangkan pada minggu yang sama. Aku tak mahu menjadi mangsa spoilers di media sosial dan ingin menonton siri ini di TV hotel sama seperti menonton di rumah.
Nasib baik TV di bilik hotel menawarkan akses yang mudah untuk menyambungkan komputer riba menggunakan port HDMI. Ini bukanlah perkara normal kerana ada beberapa hotel yang pernah aku tinggal menghalang pelanggan dari melakukan sambungan sendiri. Sistem operasi TV diubah sehingga mengakses menu menukar sumber input telah dinyahaktifkan terus.
Dengan tabiat pelanggan kini sudah banyak berubah berbanding hanya lima tahun yang lalu. Tiba masanya sistem WiFi dan sistem AV di bilik hotel diberikan markah tersendiri oleh laman-laman tempahan popular di dunia. Supaya memudahkan proses izinkan aku memulakan langkah pertama.
Shangri-La Golden Sands Pulau Pinang
Kelajuan WiFi – ⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️
Boleh menstrim Netflix dengan lancar menerusi tiga peranti walaupun dengan hampir kesemua bilik hotel penuh. 40 Mbps ialah kelajuan minimum yang dapat saya gunakan.
Sistem Audio Visual – ⭐️⭐️⭐️⭐️☆
Televisyen masih lagi sekadar 50″ FHD LED tetapi panel dengan mudah boleh ditarik keluar dari tempat simpanan. Dua port HDMI dan satu USB-A di sisi kanan TV boleh diakses menggunakan alat kawalan jauh yang disertakan. Kekurangan ialah port HDMI terletak di belakang bulan di sisi. Nasib baik saya membawa Chromecast with Google TV yang tidak memerlukan ruang yang besar.