Carian
Proton Menjadi Pengedar Kereta Elektrik Keluaran Smart
January 24, 2022 Effi Saharudin

Adalah Proton akan mengeluarkan kereta elektrik keluaran mereka sendiri dalam masa terdekat? Topik yang menjadi tanda tanya sejak mereka diambil alih oleh Geely terjawab apabila Proton menandatangani memorandum persefahaman dengan Smart Automobile Company (Smart) untuk menawarkan kereta elektrik di Asia Tenggara minggu lalu.

Dengan persefahaman ini, Proton Edar akan dilantik menjadi pengimport, pengedar dan penjual kenderaan Smart di Malaysia dan Thailand. Sebelum ini kereta keluaran Smart ditawarkan di Malaysia dengan enjin petrol dan menyasarkan pengguna yang mencari kereta bersaiz kompak serta menjimatkan penggunaan minyak

Smart Automobile Company adalah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2019 dengan usahasama Geely dan Daimler AG. Pada September tahun lalu,  Smart Concept #1 itelah diperlihatkan di Pameran Kenderaan Munich. Kereta elektrik ini dilengkapi empat pintu dengan dua daripadanya terbuka ke belakang. Dengan ini ruang penumpangnya lebih terbuka untuk meletakkan kargo yang besar misalnya.

Kokpit pada konsep adalah untuk empat orang penumpang. Pada konsol tengah terdapat skrin sesentuh sebesar 12.8 inci yang menjadi paparan sistem infohibur dan kawalan lain dala kenderaan. Rekaan luaran Concept #1 adalah hasil kerja tangan Mercedes-Benz manakala trend kuasa pula menggunakan platform elektrik Geely.

Kereta elektrik dengan bateri berjenama Proton mungkin tidak wujud tetapi mereka akan menawarkan kenderaan keluaran syarikat bersaudara mereka di Malaysia kelak. Bukan jawapan kepada soalan yang ditanya tetapi diharap segmen kereta elektrik lebih mampu milik akan dapat diisi oleh Smart.

Komen