Bercakap mengenai peranti peranti berasaskan permainan mudah alih (permua), salah satu jenama yang tidak asing dalam arena ini adalah Lenovo. Melaluinya, mereka telah sedia hadir dengan beberapa model di bawah siri Legion. Kalau anda masih ingat lagi, antara hal yang menarik mengenai salah satu peranti Lenovo sebelum ini adalah kamera swafoto pop-naik pada bahagian sisi. Ini sekaligus menawarkan pengalaman permainan yang lebih menyeluruh tanpa sebarang gangguan.
Dalam perkembangan terbaharu, sebuah peranti Lenovo dengan fokus yang sama didapati tertiris dalam beberapa imej tular. Dikenali sebagai Lenovo Halo, ia hadir dengan rekaan peranti yang kelihatan seperti sebuah telefon pintar biasa tanpa sebarang kemasan yang unik. Pada masa sama, peranti juga akan menampilkan sistem tri-kamera dengan lensa yang disusun secara menegak. Kesemua sensor ditempatkan dalam modul kamera yang berbentuk segi empat tepat. Melengkapi panel belakangnya juga adalah penjenamaan Legion, namun peranti ini dikhabarkan bukanlah model kemas kini untuk mana-mana model di bawah siri Legion yang sedia ada.
Seterusnya, panel hadapan adalah sejenis rata dengan rekaan berlubang. Melaluinya, ia menggunakan lensa swafoto tunggal yang masih tidak diketahui mengenai konfigurasinya. Saiz bezel juga nampak seimbang pada kesemua sisi peranti. Turut dapat dilihat, terdapatnya butang kuasa dan laras audio pada bahagian sisi kanan peranti. Kesemua imej yang diperolehi ini adalah perkongsian daripada EvLeaks menerusi salah satu ciapan di Twitter, baru-baru ini.
Spekualsi awal mengatakan Lenovo Halo akan mempunyai skrin 6.67-inci OLED FHD+ dengan kadar segar semula 144Hz. Ia juga akan menggunakan cip keluran Snapdragon yang tidak didedahkan secara khusus, tetapi binaannya adala 4nm. Lain-lain spesifikasi yang mungkin menyokongnya adalah kamera utama 50MP, bateri 5000mAh, memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman mencapai 256GB. Buat masa ini, belum ada sebarang perkongsian lanjut mengenai tarikh pelancarannya.
Sumber : Android Police, EvLeaks