Infinix kini dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan para pengguna khususnya. Ia berikutan penawaran produknya yang dipasarkan pada tahap harga yang berpatutan. Bukan itu sahaja, kebanyakan produk tersebut juga mampu memberikan pulangan yang baik buat pengguna sendiri dengan menyertakan spesifikasi yang sepatutnya.

Dalam perkembangan terkini, tular sebuah peranti misteri Infinix menerusi beberapa imej sebenar yang dikongsi di laman xda-developers. Ia menunjukkan peranti dengan sistem tri-kamera di belakang dengan susunan lensa secara menegak. Saiz ketiga-tiga lensa adalah berbeza dan turut kelihatan tulisan ’48MP’ – sekaligus memberi bayangan peranti kelak menggunakan sensor utama 48-Megapixel.
Seterusnya, terdapat juga dua sokongan LED Flash dalam bentuk memanjang yang disertakan. Bukan itu sahaja, panel belakangnya juga dilengkapi dengan kemasan berkilat secara menyeluruh bersama penjenamaan Infinix pada bahagian bawah. Terdapatnya tulisan ‘5G’ padanya juga jelas menunjukkan peranti kelak menyokongnya secara terbina.
Turut boleh dilihat, Infinix juga masih belum boleh lari daripada penggunaan skrin berlubang. Melaluinya, peranti memuatkan kamera swafoto tunggal yang terletak simetri di tengah atas skrin. Saiz bezel juga kelihatan seimbang pada bahagian sisi dan atas, tetapi tidak pada bahagian bawah peranti.
Buat masa ini, masih belum ada nama khusus untuk peranti yang dikongsi. Tetapi, ia dikhabarkan hadir dengan skrin sejenis LCD bersama kadar segar semula 120Hz. Selain itu, cip MediaTek Dimensity 900 turut bakal menjadi pilihan Infinix sebagai tunjang utamanya. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan lebih lanjut mengenai peranti dari masa ke semasa.
Sumber : xda-developers