Rasanya anda juga pastinya sudah tidak asing dengan paten yang sering dibawakan oleh Redmi. Di mana, mereka begitu gemar hadir dengan pelbagai varian peranti berbeza di bawah satu siri. Salah satu contohnya paling terkini adalah siri Redmi Note 11. Setakat ini, terdapat tiga variasi model yang telah diumumkan dan ianya terdiri dengan Redmi Note 11, Redmi Note 11 Pro dan Redmi Note 11 Pro Plus.

Tidak lama kemudian, mereka mula mengacah kehadiran untuk Redmi Note 11S pula. Setakat yang diketahui, peranti pintar ini akan dilancarkan secara rasminya di India pada 9 Februari hadapan. Masih banyak hal berkaitan peranti yang masih belum diketahui termasuklah rekaannya secara menyeluruh. Namun begitu, kini muncul beberapa imej pengolokan tular perkongsian oleh EvLeaks yang memberi gambaran mengenainya.



Dapat dilihat dengan jelas yang mana Redmi Note 11S akan mempunyai panel hadapan sejenis rata. Saiz bezel kelihatan seimbang pada bahagian sisi dan atas. Tetapi, kewujudan dagu tebal masih kelihatan pada bahagian bawah. Turut melengkapinya, skrin berlubang pada bahagian tengah untuk kamera swafoto dengan lensa tunggal.
Seterusnya, panel belakang pula memperlihatkan modul kamera berbentuk segi empat. Terdapat sistem kuad-kamera yang dimuatkan padanya dan sensor utamanya dipercayai hadir dengan tetapan 108MP. Ia berikutan terdapat tulisan “108MP AI Camera” pada modul kamera tersebut yang mampu menguatkan lagi dakwaan kami ini. Seterusnya, penjenamaan Redmi turut kelihatan pada panel belakang ini.

Imej pengolokan menunjukkan peranti kelak hadir dalam beberapa pilihan warna seperti putih, biru dan hitam. Setakat yang diketahui, ia juga dipercayai sebuah peranti dengan janaan cip MediaTek Helio G96, skrin AMOLED dengan kadar segar semula 90Hz dan bateri sebesar 5000mAh. Untuk lebih lanjut, sama-sama kita nantikan perkembangannya dari masa ke semasa.
Sumber : EvLeaks