Apabila ingin bercuti, memandu ke destinasi adalah amat memenatkan lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan kesesakan di lebuh raya. Bagi mereka yang ingin pergi bercuti dengan lebih selesa serta pantas, SKS Airways kini menawarkan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (SZB) ke Lapangan Terbang Pangkor (PKG) bermula hari ini.

Penerbangan pertama dari SZB mendarat dengan selamat ke PKG petang semalam membuka perjalanan udara yang diharap akan memacu industri pelancongan Pulau Pangkor yang terjejas akibat pandemik.
SKS Airways menggunakan pesawat DHC6-Twin-Otter yang mampu membawa sehingga 19 penumpang pada satu-satu masa. Tiket ke Pulau Pangkor dijual pada harga RM160 sehala. Selepas Pulau Pangkor, SKS Airways akan menawarkan pula penerbangan ke Pulau Redang bermula 31 Januari pada harga RM329 sehala sebelum melancarkan pula penerbangan ke Pulau Tioman pada S2 2022 pada harga RM276 sehala.