Malam tadi, YouTube telah berkongsi yang mereka sedang mempertimbangkan untuk mengintegrasikan Web3 pada YouTube. Melaluinya mereka dilihat ingin memperluaskan lagi ekosistem dalam membantu para penerbit kandungan, dan turut akan menyertakan sokongan NFT.
Dalam surat khas ini, CEO YouTube Susan Wojcicki turut berkongsi yang video pendek mereka YouTube Shorts telah mencapai 5 trilion jumlah tontonan tidak sampai dua tahun pun sejak dilancarkan.

Shorts adalah jawapan YouTube kepada TikTok, iaitu antara yang terawal memfokuskan kepada konsep video menegak dengan durasi pendek. Konsep yang sama ini turut diikuti oleh Meta yang kini turut memfokuskan kepada kandungan video untuk Instagram.
Pada masa yang sama, YouTube juga ingin memudahkan lagi para pencipta kandungan menggunakan Shorts dengan memperkenalkan ciri Remix. Selain daripada membantu menjana pendapatan melalui program Shorts Fund, YouTube juga akan membantu mereka untuk berhubung dengan jenama-jenama luar untuk kerjasama dalam program BrandConnect.