Carian
Redmi Note 11 Pro 5G | 11 Pro Versi Global Kini Rasmi – Snapdragon 695, 108MP, 67W Dan MIUI 13
January 26, 2022 Fahim Zahar

Siri Redmi Note 11 telahpun dilancarkan pada bulan Oktober tahun lepas untuk pasaran China. Kini selepas beberapa bulan menanti, giliran pelancaran untuk pasaran global pula. Untuk Redmi Note 11 Pro terdapat dua versi, iaitu Redmi Note 11 Pro 5G dan Redmi Note 11 Pro biasa (4G).

Redmi Note 11 Pro 5G

Model 5G ini hadir dengan skrin 6.67-inci AMOLED DotDisplay (skrin berlubang di tengah), resolusi FHD+, menyokong kadar segar semula 120Hz, kadar sentuhan 360Hz dan kecerahan mencapai 1200 nits. Untuk cip pemprosesan, ia dijana dengan cip Snapdragon 695 yang dipadankan dengan memori 6GB RAM atau 8GB RAM bersama-sama dengan storan dalaman UFS 2.2 64GB atau 128GB.

Untuk kamera, peranti ini menggunakan konfigurasi tri-kamera 108MP (Samsung HM2) + 8MP sudut ultra lebar + 2MP sensor makro dan kamera swafoto 16MP. Pembesar suara pula adalah jenis stereo pada atas dan bawah peranti bagi memberikan audio yang lebih seimbang. Mengejutkan, port bicu audio 3.5mm masih dikekalkan untuk tahun 2022. Sistem sekuriti pula adalah pengimbas cap jari di sisi dengan sokongan imbasan wajah menggunakan kecerdasan buatan.

NFC, enjin sensor infra merah untuk alat kawalan jauh dan dwi SIM hibrid juga terdapat pada peranti ini. Untuk bateri, Redmi Note 11 Pro 5G menggunakan saiz 5000mAh jenis dwi-sel dengan pengecasan pantas 67W. Xiaomi menjanjikan dengan hanya 15 minit pengecasan, peranti boleh bertahan sepanjang hari. Xiaomi turut menyatakan yang siri Redmi Note 11 Pro ini juga mempunyai sistem penyejukan untuk memastikan pengecasan pantas tidak akan membuatkan peranti memanas dan menjamin peranti akan sentiasa sejuk sepanjang penggunaan.

Peranti ini juga adalah pertama di pasaran global yang terus hadir dengan MIUI 13 berasaskan Android 12. Redmi Note 11 Pro 5G ditawarkan dengan pilihan warna Graphite Gray, Polar White, atau Atlantic Blue pada harga jualan $329 untuk 6/64 GB, $349 untuk 6/128 GB dan $379 untuk 8/128 GB. Harga jualan ini adalah sekitar RM1379, RM1463 dan RM1589. Harga jualan rasmi untuk pasaran tempatan masih belum diumumkan buat masa ini.

Redmi Note 11 Pro (4G)

Untuk model bukan 5G, skrin yang digunakan adalah sama sahaja. Tetapi cip pemprosesan digantikan dengan MediaTek Helio G96 yang dipadankan dengan pilihan memori mencapai 8GB RAM dan storan dalaman UFS 2.2 sehingga 128GB. Kamera swafoto sama 16MP, tetapi kamera utama di belakang sedikit berbeza dengan model 5G iaitu 108MP + 8MP sudut ultra lebar +2MP makro dan mempunyai satu sensor tambahan untuk mengukur kedalaman 2MP.

Lain-lain spesifikasi adalah sama sahaja dengan model 5G. Untuk pilihan warna, model ini mempunyai warna Graphite Gray, Polar White dan Star Blue. Harga jualan bagi model ini adalah $299 (~RM1253) untuk 6/64 GB, $329 (~RM1329) untuk 6/128 GB dan $349 (~RM1463) untuk 8/128 GB. Sama seperti model 5G, harga tempatan masih belum diumumkan lagi buat masa ini.

Kedua-dua Redmi Note 11 Pro ini juga menggunakan rekaan serba baharu, berbeza dengan model Redmi sebelum ini. Rekaan adalah sisi yang rata seakan iPhone 12 begitu juga dengan skrin dan panel belakang, modul kamera pula masih mirip Redmi Note 10 iaitu segi empat tetapi susun atur kamera sedikit mirip Xiaomi 12.

Sama-sama kita nantikan pengumuman harga tidak lama lagi.

Komen