Masalah utama dunia moden ialah perkongsian maklumat tanpa pengesahan. Ramai percaya maklumat yang dikongsi oleh rakan adalah asli menyebabkan penyebaran dakyah semakin sukar untuk dibendung. Imej digital dengan mudah diubah menggunakan Photoshop atau perisian DeepFake yang sungguh berbahaya. Isu ini menyebabkan Coalition for Content Provenance and Authenticity (C2PA) ditubuhkan oleh Adobe menerusi Content Authenticity Initiative (CAI) serta Microsoft dan BBC menerusi Project Origin sejak 2019. Gabungan C2PA kini turut disertai oleh ARM, Intel, TruePic dan Twitter.

Kini C2PA telah menerbitkan piawaian pertama mereka bagi membolehkan pengkarya digital meletakkan maklumat meta pada karya mereka dan mengesan sekiranya perubahan telah dilakukan ke atasnya. Piawaian merangkumi karya digital dalam bentuk imej, video, audio dan dokumen. Dengan piawaian terbuka ini, kesemua perisian boleh menggunakannya bagi membuktikan keaslian.
Dalam versi 1.0 C2PA spesifikasi dengan implementasi, sekuriti, penggunaan dan sasaran piawaian telahpun ditetapkan. Selepas ini mungkin tiada lagi alasan untuk anda untuk meneruskan penyebaran imej yang tidak disahkan lagi kerana wujud sistem untuk mengesahkan keasliannya terlebih dahulu.