Carian
Realme 9 Pro+ Bakal Hadir Dengan MediaTek Dimensity 920
January 27, 2022 Amy Maizuraa

Realme kini dalam persediaan untuk pengenalan beberapa peranti pintar baharu yang dijangka tiba tidak lama lagi. Hal ini boleh dilihat menerusi beberapa kemas kini baharu mereka di media sosial yang tidak henti-henti dikongsi sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Peranti pintar yang dimaksudkan di sini adalah siri Realme 9 dan terdapat beberapa variasi berbeza yang akan diumumkan kelak. Salah satu daripadanya adalah Realme 9 Pro+, di mana Realme buat pertama kalinya memperkenalkan variasi ‘Plus’ untuk rangkaian peranti pintar keluarannya.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, Realme 9 Pro+ dikatakan sebuah peranti dengan janaan MediaTek Dimensity 920. Hal ini menunjukkan bahawa peranti turut menyokong rangkaian 5G secara terbina. Secara tidak langsung, hal ini turut membantu Realme untuk mencapai sasarannya yang mahu melancarkan lebih banyak peranti pintar 5G berpatutan pada tahun ini.

Buat masa ini, belum ada sebarang perkongsian lanjut mengenai tarikh pelancaran peranti. Namun, terdapat khabar angin yang mengatakan ia mungkin diumumkan sekitar bulan Februari hadapan. Bagi mengetahui lebih lanjut, sama-sama kita nantikan perkembangannya dari masa ke semasa.

Sumber : Gsmarena

Komen