Dengan meningkatnya persaingan dalam industri dan pasaran cip pemproses, secara tidak langsung telah mewujudkan persaingan sihat antara semua pengeluar. Ini termasuklah MediaTek yang mana kini hadir dengan penawaran baharu untuk rangkaian cip pemprosesan yang khusus untuk Chromebook.
Melaluinya, MediaTek Kompanio 1380 telah diumumkan secara rasmi dan ia merupakan cip mercu premium dengan binaan 6nm daripada TSMC. Empat teras Cortex-A78 prestasi tinggi dengan kelajuan mencapai 3.0GHz, di samping empat lagi teras Cortex-A55 kuasa rendah untuk kecekapan dalam pengendalian tugas latar belakang. GPU Mali-G57 MC5 digunakan untuk sokongan visual lebih baik.
Seterusnya, ia turut dilengkapi memori yang terhad pada LPDDR4X dan cip kecerdasan buatan MediaTek APU 3.0 yang mempunyai kemampuan 4TOPS. Selain daripada itu, cip turut menyokong paparan skrin pada resolusi tertinggi 4K dengan kadar segar semula 60Hz. Sokongan kamera pula adalah 16 MP + 16MP dan rakaman video 4K HDR untuk kualiti video yang baik.

Cip ini akan mula digunakan mulain bulan Jun hadapan dengan tablet Acer Chromebook Spin 513 telah disahkan yang pertama akan menyokongnya.
Sumber : MediaTek