Cari @ Amanz

Seperti yang semua maklum, OnePlus kini sudah dimasukkan di bawah Oppo dan menjadi satyu sub-jenama. Ia merupakan strategi mereka untuk era OnePlus 2.0, yang mana kedua-dua sistem operasi Oxygen OS dan ColorOS akan disatukan bagi menawarkan sistem operasi yang lebih baik, stabil, dan lancar.

Oxygen OS terkini juga dilihat satu penjenamaan semula ColorOS yang digunakan pada peranti Oppo. Hanya dengan sedikit penambahbaikan dan menyertakan beberapa aplikasi tambahan yang eksklusif untuk OnePlus.

Terkini Mukul Sharma yang kerap meniriskan pelbagai maklumat menarik mengenai teknologi mendedahkan yang gabungan Oxygen OS dan ColorOS akan dinamakan sebagai H2OOS. Beliau menerima maklumat ini kerana mendapati OnePlus telah memfailkan tanda dagang.

Dulu di China sebelum OnePlus menggunakan ColorOS, mereka menggunakan Hydrogen OS. Kini mereka telah menggabungkan Oxygen dan Hydrogen menjadikan H2O iaitu formula kimia untuk air (2 Hydrogen + 1 Oksigen).

Buat masa ini masih tidak pasti, sama ada H2OOS akan digunakan di China sahaja atau di seluruh dunia untuk semua peranti OnePlus dan Oppo. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd