Stesen pengecasan elektrik semakin banyak dibangunkan di seluruh dunia dengan baru-baru ini stesen pengecasan pantas Shell telah dibuka di Tangkak. Sedang infrastruktur pengecasan kereta elekrtik berkembang maju, satu infrastruktur yang seakan dilupakan ialah untuk kapal elektrik. Maersk Supply Service telah mengumumkan mereka akan membangunkan stesen pengecasan elektrik untuk kapal dengan bantuan firma tenaga lestari Ørsted.
Stesen pengecasan yang terapung seperti pelampung ini diberi nama Stillstrom dengan perancangan meletakkannya di pelabuhan, hab dan berhampiran stesen janakuasa luar pantai. Kuasa elektrik akan mengambil sumber dari ladang kincir udara Ørsted yang pada waktu ini membangunkan 1 dalam setiap 4 janakuasa kincir angin di dunia. Maersk dan Ørsted berharap dapat memperlihatkan prototaip pertama sistem Stillstrom yang berfungsi pada S3 2022.
Selain menawarkan pengecasan kepada kapal berkuasa elektrik, Stillstrom turut akan digunakan oleh kapal yang sedang berlabuh. Enjin yang menggunakan bahan api fosil tidak perlu digunakan untuk membekalkan kuas elektrik yang diperlukan kapal sekaligus mengurangkan pencemaran udara dan bunyi di pelabuhan.
Ini diharap akan mengurangkan pengeluaran 5.5 juta Tan CO2 ke udara dalam masa lima tahun Stillstorm memulakan operasi komersial.