PETRONAS hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Japan Petroleum Exploration Co., Limited (JAPEX) untuk bekerjasama untuk membangunkan teknologi menangkap dan storan karbon dioksida (CCS) termasuk meneroka solusi storan CO2 yang sesuai untuk digunakan di Malaysia.
Di bawah MoU itu, PETRONAS dan JAPEX akan melaksanakan aktiviti pematangan teknikal untuk membuka kunci penyelesaian CCS yang berpotensi, termasuk menilai kaedah tangkapan, penyimpanan dan pengangkutan yang optimum, serta anggaran pelepasan, volum tangkapan dan kaedah pemantauan CO2 yang disimpan di bawah tanah.

Kajian bersama ini akan merangkumi pertimbangan kaedah untuk menangkap dan mengangkut CO2 dari Kompleks LNG PETRONAS di Bintulu dan dari luar Malaysia di masa depan.
JAPEX telahpun melakukan projek CSS di Tomakomai, Hokkaido dan PETRONAS akan menggunakan kepakaran mereka bagi merealisasikan impian menjadikan Malaysia sebagai hub CSS di rantau ini. Kurang dua minggu yang lalu PETRONAS telah menandatangani perjanjian dengan Sarawak Shell Berhad untuk melakukan kajian untuk melihat peluang dan kerjasama dalam membangunkan teknologi CCS.
Teknologi CCS sedia ada menyimpan karbon dioksida yang ditangkap dari atmosfera dalam bentuk cecair. Ia kemudiannya disimpan dalam telaga minyak yang tidak lagi digunakan selama-lamanya untuk mengurangkan peratusan karbon dioksida di udara.