Cari @ Amanz

Taman Tergantung Babylon adalah antara 7 keajaiban dunia purba yang dibina oleh Raja Nebuchadnezzar II untuk isteri beliau Ratu Amytis yang merindui kampung halaman. Sebuah taman hijau dibina secara bertingkat sehingga membuatkannya kelihatan seakan tergantung dari jauh. Taman ini hancur ditelan zaman lebih 2000 tahun yang lalu. Tetapi kini di Shanghai sebuah pusat membeli belah telah dibuka dengan elemen yang dipinjam dari Taman Tergantung Babylon.

Pusat membeli belah 1000 Trees yang terletak di daerah Putuo Shanghai telah dibuka Disember tahun lalu setelah mengambil masa lapan tahun untuk dibina. Seperti namanya, terdapat 1000 pokok yang ditanam pada keseluruhan bangunan dengan terdapat pod yang mempunyai sistem pengairan yang memastikan ia dapat kekal hidup. Sebanyak 70 spesis pokok ditanam pada bangunan yang direka oleh firma Heatherwick Studio.

Pusat membeli belah ini hanyalah sebahagian daripada projek pembangunan seluas 300,000 meter persegi dengan sebuah taman tergantung sebenar akan dibuka dalam masa dua tahun sahaja lagi. Tujuan projek ini dibangunkan ialah untuk menghasilkan pembangunan yang harmoni dengan alam sekitar di bandaraya Shanghai yang terkenal sebagai sebuah hutan konkrit.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd