Redmi Note 11S Mungkin Dilancarkan Sebagai Poco M4 Pro (4G) Di Beberapa Pasaran Tertentu

Diterbitkan pada Jan 28, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Redmi Note 11S merupakan salah satu penawaran peranti pintar terbaharu di pasaran ketika ini. Ia merupakan sebuah peranti dengan janaan cip MediaTek Helio G96, kamera 108MP dan bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas 33W.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, kini timbul desas-desus yang mendakwa peranti berkenaan kelak akan dijenamakan semula sebagai Poco M4 Pro untuk beberapa pasaran tertentu. Perkara ini dikongsi oleh xda-developers menerusi laporan terkini mereka.

Katanya, kedua-dua peranti berkongsu kod nama peranti yang sama iaitu Fleur. Ia bagaimanapun, bukan satu hal yang mengejutkan. Bahkan, ia sepertinya sudah seringkali berlaku untuk rangkaian peranti Redmi dan Poco sebelum ini. Misalnya seperti, Poco M3 Pro 5G yang mempunyai banyak persamaan dengan Redmi Note 10 5G versi global sebelum ini. Dalam keadaan berbeza, Poco M2 turut memperlihatkan spesifikasi yang sama seperti Redmi 9.

Bagaimanapun, maklumat dikongsi masih di peringkat ura-ura. Bagi ketahui lebih lanjut mengenainya, sama-sama kita nantikan perkembangan selanjutnya dari masa ke semasa. Sekadar selingan, siri Redmi 11 akan dilancarkan di Malaysia pada 10 Februari depan. Bagi melihat penawaran penuh untuk pasaran tempatan, kekal dengan kami di Amanz.

Sumber : xda-developers

komen


© Amanz / 2022 Kami