Google Ingin Memasuki Semula Arena Tablet Mungkin Kerana Iri Hati Terhadap Populariti iPad

Diterbitkan pada Jan 31, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kata pepatah orang Inggeris, sekiranya anda gagal, cuba dan cuba lagi. Begitulah nampaknya situasi dengan Google sekarang yang dilihat telah mengeluarkan senarai pengambilan pekerja untuk membina sebuah lagi tablet baru untuk syarikat tersebut.

Senarai tersebut memperlihatkan kata-kata bahawa masa hadapan perkomputeran dilihat semakin beralih kepada penggunaan tablet, dan Google mahu berada di hadapan barisan dengan melancarkan produk yang menyokong pelbagai aspek produktiviti dan riadah pada pelbagai platform, dan untuk memudahkan pengguna menikmati kandungan pada pelbagai platform perisian Google, seperti Android dan ChromeOS.

Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, khususnya apabila Google turut melancarkan sistem operasi Android 12L untuk perantii berskrin besar pada tahun lepas. Jadi percubaan mereka untuk sekali lagi memasuki pasaran tablet bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Google Pixel C

Sebagai sebuah pelajaran sejarah tablet Google yang ringkas, Google memperkenalkan tablet Google Nexus 7 mereka pada tahun 2012 sebagai peranti pelengkap kepada peranti pintar Google Nexus mereka.

Pada tahun 2015, mereka kemudiannya memperkenalkan pula tablet Pixel C yang menggerakkan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow , yang kemudiannya digantikan oleh Pixel Slate, diantara peranti terawal yang menggunakan ChromeOS sebelum sistem operasi tersebut digunakan pada peranti-peranti Chromebook yang kini dilihat semakin popular khususnya untuk tujuan pembelajaran dalam dan luar kelas.

Apa yang menarik di sini ialah dalam sektor tablet pengguna, peranti Apple iPad dilihat pilihan nombor satu pengguna secara global, dengan penawaran tablet Android dari jenama-jenama lain dilihat kurang menyerlah dari segi penawaran model dan prestasi yang dapat diperlihatkan.

Sayangnya untuk kebanyakan jenama tablet Android, sokongan perisian dan sekuriti juga salah satu isu mengapa tablet-tablet Android secara lazimnya tidak begitu diterima secara umum. Walau apa-pun, Google dijangka akan memperlihatkan tablet ini mungkin di sekitar acara pengumuman mereka pada hujung tahun ini, jika tidak sewaktu Google I/O.

Sumber: Android Authority

komen


© Amanz / 2022 Kami