Telsa Memanggil Semula 54,000 Kenderaan Kerana Perisian Swapandunya Yang Berbahaya

Diterbitkan pada Feb 2, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tesla cukup bangga dengan sistem “swapandu” Full Self Driving mereka walaupun hakikatnya pemandu masih perlu meletakkan tangan pada stereng sebagai langkah keselamatan. Perisian FSD Beta yang diberikan sejak beberapa bulan yang lalu hadir dengan ciri rolling stop yang membenarkan kenderaan bergerak walaupun ia melihat tanda berhenti pada persimpangan. Ciri ini melanggar undang-undang jalan raya di Amerika Syarikat dan akibatnya Tesla terpaksa memanggil semula 54,000 kenderaan yang menggunakan FSD Beta.

Tesla akan memberikan kemas kini perisian FSD yang menyahaktifkan rolling stop pada bulan ini secara OTA. Kenderaan yang terjejas hanyalah yang dijual di Amerika Syarikat sahaja merangkumi Tesla Model S 2016-2022, Model X 2016-2022, Model 3 2017-2022 dan Model Y 2020-2022.

Pihak Agensi Keselamatan Pengangkutan dan Lebuh Raya Kebangsaan (NHTSA) mendapati rolling stop ini berbahaya kerana walaupun kenderaan diperlahankan ke 3 km/j, masih wujud risiko kenderaan melanggar pejalan kaki atau penunggang basikal sekiranya sistem kamera tidak mengesan mereka. Kerana Tesla tidak mahu menggunakan LiDAR, tular video sistem kamera mereka tidak mampu mengesan kanak-kanak yang menggunakan papan lungsur.

Ini bukan kali pertama Tesla terpaksa menarik semula ciri pada kenderaan mereka. Disember lalu ciri Passenger Play ditarik semula kerana risau pemandu menggunakannya untuk bermain permainan video ketika memandu.

Sumber Reuters

komen


© Amanz / 2022 Kami