Kadang kala di Netflix kita hanya mahu menonton sesetengah kandungan selama beberapa minit untuk melihat sama ada ia benar-benar menarik atau hanya membuang masa. Apabila kandungan tersebut tidak serasi dengan citarasa ia mungkin ditonton selama beberapa minit tetapi dikekalkan pada barisan “Continue Watching” sehinggalah kita habis menontonnya.
Jika isu ini menimbulkan kemarahan anda, berita baiknya ialah Netflix kini membenarkan kandungan yang tidak dikehendaki dibuang dari barisan Continue Watching. Pada aplikasi tekan butang tiga titik pada imej kecil kandungan yang ingin dibuang. Tatal ke bawah dan tekan “Remove from row”, sahkan pilihan dan ia kini tidak lagi menghantui anda.
Pada pelayar web pula lalukan anak panah pada imej kecil dan kemudiannya pilih ikon “X” untuk melakukan perkara yang sama. Pada aplikasi TV pintar pula, pilih imej kecil dan kemudian tunggu paparan maklumat kandungan dipaparkan sebelum menekan pilihan untuk membuang kandungan dari barisan. Ciri ini boleh digunakan oleh semua pelanggan Netflix di seluruh dunia.