AirPods Max ialah usaha sulung Apple untuk menawarkan fon kepala premium kepada pelanggan. Sebagai produk generasi pertama, ia mempunyai beberapa kekurangan berbanding pesaing dan isu utama kebanyakan pemilik ialah tempat simpanan AirPods Max yang kurang mesra pengguna. Jika beg simpanan rasmi tidak melepasi piawaian anda, Gucci menawarkan beg simpanan mereka pada harga yang amat premium.

Pada harga $980 (~RM4100) sebuah, ia jauh lebih mahal berbanding AirPods Max yang dijual pada harga RM2399 di Malaysia. Beg yang diberi nama Ophidia case for AirPods Max ini diperbuat daripada bahan kulit dan dilengkapi dengan tali untuk menyandangnya pada bahu.

Walaupun harganya premium, bahagian pendakap kepala AirPods Max masih lagi terkeluar dan terdedah apabila disimpan di dalam Ophidia.Bagi pengguna fon kepala jenama lain, Ophidia versi biasa turut ditawarkan kepada pelanggan yang berminat pada harga lebih mampu milik $920 (~RM3850) sebuah.