Carian
Nokia G21 Dilaporkan Hadir Dengan Cip Unisoc
February 3, 2022 Amy Maizuraa

Nokia sebelum ini telah mengumumkan penamaan baharu untuk siri G yang memfokuskan kepada peranti kelas pertengahan. Antara model yang telah diperkenalkan adalah Nokia G10 dan Nokia G20. Apa yang menarik, peranti-peranti ini juga menyokong versi sistem operasi selama dua tahun dan tampalan sekuriti sehingga tiga tahun.

Dalam perkembangan terkini, terdapat sebuah peranti baharu Nokia telah tersenarai di laman Geekbench. Ia dikenali sebagai Nokia G21, di mana dijangka menjadi model kemas kini untuk Nokia G20 sebelum ini. Beberapa spesifikasi juga telah didedahkan, sekaligus sedikit sebanyak memberi gambaran kasar mengenai peranti.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, penyenaraian menunjukkan ia akan menggunakan cip keluaran UNISOC. Tapi sayangnya, ia tidak pula mendedahkan jenis cip berkenaan secara khusus. Memetik sumber, ada kebarangkalian peranti akan dijana dengan cip Unisoc T606. Jika benar, ia bakal menjadi sebuah peranti yang menyokong 4G sewaktu dilancarkan kelak.

Seterusnya, peranti juga akan menampilkan memori sebesar 4GB RAM yang turut dipadankan dengan sistem operasi Android 11. Markah penanda aras turut memperlihatkan peranti mendapat 312 mata untuk ujian satu teras, sementara itu 1,157 mata pula untuk ujian pelbagai teras.

Maklumat mengenai tarikh pelancarannya masih menjadi misteri setakat ini. Namun, peranti dijangka hadir dengan skrin 6.5-inci LCD HD+ dengan sistem tri-kamera yang menyokong sensor utama sebesar 50MP. Untuk ketahui lebih lanjut, sama-sama nantikan perkembangannya dari masa ke semasa.

Sumber : Geekbench

Komen