Semakin banyak maklumat dikongsi, ini menandakan semakin dekat dengan tarikh pelancaran. Inilah yang kita boleh katakan mengenai siri Realme 9 yang mana kini beberapa spesifikasi utamanya telah didedahkan secara rasmi menerusi laman Realme Indonesia. Pada masa sama, laman berkenaan turut mendedahkan tarikh pelancarannya secara khusus yang dijadualkan berlangsung pada 16 Februari 2022.

Apa yang boleh dilihat, Realme 9 Pro+ akan dilengkapi skrin sejenis AMOLED dengan kadar segar semula 90Hz. Seperti yang dikongsi sebelum ini, ia juga bakal dijana dengan MediaTek Dimensity 920 dan tubuh yang boleh berubah warna apabila terdapat cahaya yang memantul. Seterusnya, ia turut memfokuskan kepada kebolehan kamera lebih baik menerusi penggunaan sensor Sony IMX766 dan OIS terbina. Pada masa sama, ia juga menyertakan mod kamera khusus dinamakan Street Photography Mode 2.0 yang rasanya berguna untuk tangkapan gambar jalanan menarik. Lain-lain spesifikasi adalah bateri dengan sokongan pengecasan pantas 60W, pengimbas cap jari pada skrin bersama kebolehan pengimbas nadi dan sokongan untuk NFC.

Bercakap mengenai Realme 9 Pro pula, ia bakal menjadi peranti dengan janaan cip Snapdragon 695. Skrin pula menyokong kadar segar semula 120Hz yang turut dipadankan dengan sistem tri-kamera di belakang dengan sensor utama 64MP. Bateri pula sebesar 5000mAh yang menyokong pengecasan dengan kuasa output 33W. Tidak ketinggalan, peranti juga menyokong kebolehan NFC. Buat masa ini, itu sahaja maklumat yang dikongsi. Bagi ketahui lebih lanjut, sama-sama nantikan pelancaran rasminya kelak.
Sumber : Realme Indonesia