Pembangunan Microsoft Hololens 3 Dibatalkan – Microsoft Mungkin Fokuskan Metamesta

Diterbitkan pada Feb 3, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Peranti realiti campuran Microsoft Hololens boleh dikatakan diantara produk paling menarik yang pernah dikeluarkan oleh Microsoft dalam beberapa tahun ini. Ia menunjukkan konsep bahawa realiti maya dan realiti terimbuh boleh menjadi masa hadapan pengguna khususnya apabila kita kini semakin memperlihatkan dunia metamesta menjadi realiti.

Terkini, ia telah dilaporkan bahawa peranti Hololens generasi ketiga yang sepatutnya dilancarkan pada pertengahan tahun lepas telah dibatalkan, dengan bahagian pembangunan Hololens di Microsoft tidak begitu gembira mengenainya.

Ini adalah kerana Microsoft dan Samsung dilihat telah menandatangani perjanjian untuk membina peranti realiti campuran tersebut, menyebabkan pelan untuk pihak Microsoft membangunkannya secara kendiri tidak menjadi kenyataan.

Perkara ini dilihat apa yang menyebabkan beberapa nama besar dalam pasukan Hololens seperti Don Box dan Dave Reed untuk menyertai pasukan Meta. Ini juga dilihat sebagai sebab utama mengapa Microsoft tidak lagi akan membina peranti Hololens baru dalam masa terdekat ini.

Walaupun begitu, ia bukan bermaksud bahawa Microsoft akan meninggalkan cita-cita untuk membangunkan ekosistem digital tersebut. Satya Nadella, CEO Microsoft mengatakan bahawa beliau mahu Microsoft memfokuskan tumpuan mereka terhadap membangunkan ekosistem metamesta dan juga perisian yang akan digunakan didalam metamesta tersebut.

Metamesta Microsoft, yang dinamakan Microsoft Mesh dilihat sebagai dunia digital mereka dimana orang ramai boleh berkolaborasi dan bertemu tidak kira dimana mereka berada menggunakan teknologi-teknologi serba baru.

Sumber: ONMSFT

komen


© Amanz / 2022 Kami