Cari @ Amanz

Toyota Supra ialah kereta legenda dalam dunia drifting di Jepun. Ia kemudian menjadi semakin popular selepas dipaparkan sebagai kereta utama yang dipandu oleh Brian O’Conner dalam siri The Fast and Furious. Di Toyota, mereka menyedari era kereta dipandu sendiri bakal berakhir maka sebuah Supra moden telah diubahsuai dengan sistem swapandu yang boleh melakukan aksi drifting.

Toyota Research Institute dengan bantuan Stanford University membangunkan sistem swapandu yang boleh melakukan aksi drifting bukan sahaja untuk kelihatan menarik tetapi bersebab. Dalam situasi pemanduan kereta mungkin tergelincir kerana jalan licin disebabkan ais misalnya. Kenderaan swapandu perlu diajar untuk mengembalikan kawalan dalam situasi ia sedang tergelincir.

Sistem drifting juga boleh digunakan untuk mengelak halangan di atas jalan raya di saat akhir dengan selamat seperti seorang pemandu manusia profesional. Untuk memudahkan Supra swapandu melakukan aksi drift, ia dilengkapi sistem yang sama seperti sebuah kereta Formula Drift.

Sedang Tesla dan Nissan cuba membangunkan sistem swapandu tahap 4, Toyota berfikir di luar kotak untuk melakukan pemanduan lebih agresif.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd